BDB Land Jual Tanah 105.22 Hektar Di Kuala Ketil, Harga RM65 Juta

Kuala Lumpur - BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Bhd (BDB) akan menjual tanah seluas 105.22 hektar di Bandar Kuala Ketil, Baling, Kedah kepada Edra Solar Sdn Bhd dengan harga RM65 juta.

“BDB Land dan Edra Solar sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Solar Sdn Bhd memeterai Perjanjian Jual dan Beli pada 27 Ogos lalu,” kata BDB dalam kenyataan, semalam.

Edra Solar ialah unit milik penuh Edra Global Energy Bhd, sebelum ini dikenali 1MDB Energy Group Bhd.

BDB berkata, deposit 10 peratus dibayar selepas pelaksanaan perjanjian manakala baki 90 peratus akan dibayar kepada peguam cara BDB Land sebagai pemegang kepentingan.

Syarikat itu berkata, cadangan penjualan tanah akan meningkatkan nilainya kerana Bina Darulaman Group tidak mempunyai rancangan dalam tempoh terdekat untuk membangunkannya.

“Cadangan penjualan ini pada masa sama akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan Kedah menerusi projek penjanaan kuasa solar yang akan dibangunkan oleh penjana kuasa bebas antarabangsa utama Asia Tenggara, Edra Solar,” katanya. - BERNAMA