Beca Hibrid "Ecoride" Jadi Tarikan Ramai Di Bandar Alor Setar


ALOR SETAR - Perkhidmatan beca hibrid, Ecoride yang diperkenalkan di Bandar Alor Setar, di sini, dilihat mampu menarik pengunjung sekali gus melonjak sektor pelancongan Kedah.

Difahamkan, beca moden yang lebih mesra dikenali sebagai ‘tut tut’ dalam kalangan penduduk tempatan dilancarkan bersempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Pengarah Ecoride, Eddy Shah, 43, berkata, kira-kira empat Ecoride disediakan bagi memudahkan pengunjung melawati tempat menarik di Alor Setar.

“Pengunjung berpeluang mengelilingi tempat menarik di Alor Setar dengan bayaran berpatutan RM20 sahaja bagi satu trip perjalanan.

“Dua dewasa ataupun sebuah keluarga, termasuklah dua dewasa dan dua kanak-kanak boleh menaiki kenderaan berkenaan dalam satu-satu masa,” katanya.


Menurutnya, perkhidmatan beca hibrid berkenaan disediakan berhampiran Information Tourist Centre (ITC), Dataran Medan Bandar di hadapan Masjid Zahir, di sini.

"Sambutan masyarakat setempat terhadap perkhidmatan berkenaan dilihat amat memberangsangkan meskipun ia baru pertama kali diperkenalkan di bandar ini," katanya.

Difahamkan, empat beca hibrid berkenaan hanya berada di Malaysia dan Asia Tenggara yang mana penduduk perlu ke Jepun jikalau berhasrat menaiki kenderaan itu.

Sementara itu, tinjauan mendapati penduduk tempatan tidak putus-putus mengunjungi Dataran Medan Bandar, di sini bagi menaiki kenderaan unik dan mesra alam yang berwarna-warni dilancar bersempena Tahun Melawat Kedah 2016.

Sumber: Sinar Harian