Bekalan Lembu Dan Kambing Untuk Aidiladha Cukup Di Seluruh Negara

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Bekalan lembu dan kambing untuk keperluan di seluruh negara bagi sambutan Aidiladha Khamis ini adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ini berdasarkan kepada jumlah bekalan lembu dan kambing yang telah diimport dan jumlah ternakan tempatan di seluruh negara buat masa ini.

Mengikut stastistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, stok bekalan ternakan lembu dan kerbau pada bulan ini berjumlah 54,200 ekor dan kambing 40,493 ekor, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo dan Forum Haiwan Ternakan Asia 2015 anjuran UBM Asia Ltd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini, yang berlangsung dari hari ini sehingga 23 Sept.

Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah Veterinar Dr Kamarudin Md Isa, dan Pengerusi UBM Malaysia Tan Sri Dr Ahmad Mustaffa Babjee.

Ahmad Shabery berkata keperluan bagi lembu dan kambing bagi tujuan ibadah korban untuk tahun ini adalah kira-kira 26,200 ekor lembu dan 12,324 ekor kambing.

Sementara itu, Dr Kamarudin berkata pemilik anjing perlu membawa haiwan peliharaan mereka itu ke klinik haiwan untuk pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia bebas daripada penyakit anjing gila.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam menjalankan langkah pencegahan penyakit ini. Jumlah suntikan vaksin untuk dilakukan ke atas anjing adalah mencukupi,” katanya.

Katanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar hanya melupuskan anjing yang didapati positif wabak penyakit berkenaan dan buat masa ini kawasan jangkitan hanya di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Mengenai ekspo itu, Ahmad Mustaffa berkata ia bukan sahaja menyediakan peluang perniagaan untuk peserta dan pengunjung tetapi juga merupakan ‘proses pembelajaran dan berkongsi pengalaman” dalam industri itu. – BERNAMA