Billionaire Norway Tawar 100 Bilik Hotel Untuk 5,000 Pelarian Syria

Petter Anker Stordalen
OSLO – Terkesan dengan foto Aylan Kurdi, seorang anak kecil pelarian Syria yang mayatnya terdampar di pantai Turki minggu lalu; seorang hartawan Norway, Petter Anker Stordalen sanggup memberi mereka perlindungan.

Lebih unik, beliau yang juga merupakan pemilik Nordic Choice, firma rangkaian hotel antara terbesar di dunia; sanggup menawarkan sejumlah hotel miliknya sendiri untuk didiami secara percuma oleh para pelarian terbabit.

Stordalen, 52 tahun, dilaporkan menawarkan kepada penguat kuasa imigresen negara itu untuk menyediakan tempat tinggal transit kepada kira-kira 5,000 pendatang Syria di 100 buah hotel miliknya di seluruh Norway.

Pihak berkuasa imigresen akan menerima tawaran tersebut kerana mereka belum berupaya lagi menyediakan tempat tinggal sementara kepada golongan pendatang yang kini mula membanjiri negara rantau Skandinavia itu.


Jumlah pelarian suaka politik yang masuk ke Norway meningkat mendadak sejak kebelakangan ini, malah pada bulan lalu sekitar 2,300 pendatang asing Syria tiba ke negara tersebut, angka yang tertinggi sejak dekad 1990-an.

Stordalen yang juga dikenali sebagai taikun pelabur hartanah terkemuka menguruskan sejumlah 170 buah hotel dengan 12,000 pekerja serta memiliki kekayaan bernilai lebih 11 bilion kroner Norway (kira-kira RM5.8 bilion).

Beliau dan isteri, Gunhild, seorang doktor dan aktivis alam sekitar tempatan turut terkenal dermawan pemurah menerusi Yayasan Stordalen yang ditubuhkan pada 2011 sehingga mereka diberi gelaran Bill Gates Norway.

Rangkaian hotel Nordic Choice diwujudkan sejak 1990 dengan cawangan di Norway, Denmark, Sweden dan negara-negara rantau Baltik serta kapasiti 25,000 buah bilik yang bebas asap rokok. – Agensi