Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Bom lama seberat empat tan yang ditemukan bersama-sama barangan lusuh di sebuah premis di Tingkat Perusahaan 3, Perai dekat sini perlu dilupuskan sebelum Ahad ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Beliau berkata pemilik syarikat itu yang bertanggungjawab untuk melupuskan bom itu telah bersetuju untuk melantik sebuah syarikat untuk berbuat demikian.
“Syarikat yang dilantik itu akan melupuskannya dengan bantuan dan penyeliaan pihak polis. Ini adalah bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Lafaz Angkat Sumpah dan Surat Pelantikan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan penemuan pelbagai jenis bom di premis menjual barangan lusuh di Tingkat Perusahaan 3, Perai, yang dipercayai dari beberapa negara antaranya China, Laos, Vietnam dan Kemboja yang dibawa masuk secara pukal bersama besi buruk sejak dua tahun lepas.
Pada majlis itu sebanyak 608 pegawai dan anggota SSPDRM mengangkat sumpah selepas berjaya menamatkan latihan dari 11 Mac hingga 30 Ogos lepas.
Abdul Rahim berkata ketika ini terdapat 1,343 sukarelawan SSPDRM termasuk 394 wanita di Pulau Pinang dan masih terdapat 1,679 kekosongan.
“Sebagai anggota SSPDRM, mereka adalah sebahagian daripada warga PDRM jadi apa sahaja tindakan dan perlakuan secara tidak langsung mencerminkan wajah PDRM,” katanya. – BERNAMA