Bot Laju Bawa Presiden Meletup, Isteri Dan Dua Individu Cedera


Male - Bot laju yang membawa Presiden Maldives Abdulla Yameen meletup ketika menghampiri Male, ibu negara kepulauan Lautan India, mencederakan isterinya dan dua yang lain.

Bagaimanapun, Abdulla, 59, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca letupan yang disaksikan oleh wartawan semalam ketika menunggu ketibaan presiden sekembalinya dari menunaikan haji di Arab Saudi bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

Abdulla sebelum itu mendarat di lapangan antarabangsa Maldives di pulau lain dan dalam perjalanan menaiki bot kembali ke ibu negara, Male.

Rakaman yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan suasana huru-hara apabila kakitangan Abdulla cuba memindahkan mangsa yang cedera ke bot polis.

Menteri di pejabat presiden, Mohamed Hussain Shareef berkata: “Ada letupan di bot rasmi Abdulla berhampiran jeti Male. Presiden tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi isterinya cedera ringan.

“Kami tidak tahu sama ia diakibatkan bahan letupan atau enjin kapal.”

Saksi melihat Abdulla berjalan dan membantu mangsa yang cedera selepas letupan itu berlaku hanya dua meter dari jeti utama.

Isterinya Fathimath Ibrahim, yang cedera ringan dibawa dari bot presiden oleh tentera. Dia dipindahkan ke hospital utama di Male bersama-sama pengawal peribadi dan pembantu presiden yang turut mengalami cedera ringan, kata Hussain.

Abdullah, 58, adalah tokoh kontroversi di dalam dan luar negara. Kuasanya meningkat selepas pilihan raya presiden yang sengit pada 2013 apabila mengalahkan Mohamed Nasheed.

Mohamed dipenjara tahun ini kerana didakwa terbabit keganasan dalam kes yang dikecam kuasa dunia. - Reuters