Box Office: Baru 11 Hari Tayangan, Polis Evo Sudah Kutip RM8 Juta


Satu perkembangan positif buat industri filem tempatan apabila filem arahan Ghaz Abu Bakar, Polis Evo dilaporkan sudah berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM8 juta dalam masa 11 hari tayangan!

Pastinya khabar gembira ini mampu memberikan senyuman kepuasan buat team produksi filem ini beserta barisan pelakonnya.

Masakan tidak, di kala kutipan filem tempatan lain yang tidak berapa memberansangkan, Polis Evo berjaya memecah kebuntuan tersebut.

Ramai menyatakan kelainan jalan cerita serta teknik sinematografi yang menarik menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan filem ini.

Polis Evo dibintangi pelakon popular, Shaheizy Sam, Zizan Razak dan Nora Danish ini mengisahkan pasukan polis yang perlu menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sekitar Terengganu.


Pelbagai konflik timbul di antara dua watak utama filem ini sepanjang mereka cuba menyelesaikan misi yang telah diamanahkan kepada mereka.

Selain Polis Evo, dua filem tempatan lain juga turut bersaing di pawagam dalam minggu yang sama iaitu Jwanita dan Girlfriend Kontrak.

Ayuh sama-sama meriahkan kutipan filem-filem tempatan agar industri perfileman negara dapat kembali bernafas seperti mana di zaman kegemilangannya dahulu. -Kedahnews.com