Bukan Lembah Klang Saja, Jerebu Di Riau Juga Lebih Teruk

KEADAAN jerebu di Pekanbaru, kelmarin.
Pekanbaru - Empat daerah di Riau dilanda jerebu teruk hingga jarak penglihatan antara 400 hingga 800 meter sahaja pagi semalam.

Ketua Jabatan Metereologi, Iklim dan Geofizika Pekanbaru Sugarin berkata, daerah paling teruk ialah Pelalawan dengan jarak penglihatan 400 meter, diikuti Pekanbaru, 500 meter, Dumai, 700 meter dan Rengat Indragiri Hulu 800 meter.

Jerebu mula melanda Riau sejak awal bulan lalu kerana kegiatan pembakaran hutan di sekitar pulau Sumatera.

Pihak berkuasa wilayah itu semalam mengesan 198 titik panas, termasuk 82 titik di wilayah Riau.

Keadaan yang semakin teruk itu menyebabkan beberapa jadual penerbangan dari Pekanbaru terpaksa ditunda.

Pihak berkuasa pelajaran juga mengarahkan beberapa sekolah di wilayah berkenaan ditutup sejak kelmarin kerana bimbang kesihatan murid terjejas. - Agensi