Buku "Hadith Pilihan Shahih Bukhari" Antara Buku Diharamkan KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan tiga judul buku berunsur Islam kerana didapati mempunyai isi kandungan yang jelas mengelirukan dan mungkin memudaratkan orang awam.

Buku-buku berkenaan ialah ‘Perukonan Romanise’, ‘Siri Pahlawan Islam Bilal Bin Rabah’ dan ‘Hadith Pilihan Shahih Bukhari’, kata KDN dalam satu kenyataan rasmi media yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Hashimah Nik Jaafar, berkata perintah larangan berkuat kuasa pada 18 September mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

KDN mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 akta tersebut jika didapati mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual dan mengeluar.

Juga mana-mana individu boleh didakwa sekiranya didapati mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki buku-buku tersebut bagi apa jua maksud.

‘Perukonan Romanise’ dalam versi berbahasa Melayu adalah susunan oleh Norain H. Muhammmad dan diterbitkan oleh H. Hashim H. Abdullah.

‘Siri Pahlawan Islam Bilal Bin Rabah’ susunan Mohamad Fadhil Umar diterbitkan oleh Buku Prima Sdn. Bhd., dan dicetak Dasar Cetak (M) Sdn. Bhd., dalam bahasa Melayu.

‘Hadith Pilihan Shahih Bukhari’ dalam bahasa Indonesia pula diterjemahkan oleh Ustaz Labib MZ dan diterbitkan oleh Bintang Usaha Jaya Surabaya di Indonesia.

Hashimah berkata, mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. -Kedahnews.com