Burung Kuang, Spesis Khazanah Negara Yang Kian Pupus


JOHOR BAHRU – “Jangan ingat manusia sahaja boleh mempunyai badan sasa seperti ahli bina badan. Burung pun boleh.”

Itu, cerita Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar, Jemaluang, Nuraida Misfani kepada Bernama ketika ditanya mengenai keunikan burung Kuang daripada keluarga Phasianidae ini.

Agak kelakar bunyinya. Bagaimana ‘tarian serta bulu berkembang’ boleh diangkat sebagai simbol bagi menunjukkan gagah perkasa burung itu?

Dalam dunia unggas inilah cara kreatif untuk memikat hati pasangannnya. Selain itu, ia dilakukan melalui kehebatan burung Kuang mengembangkan ekor yang menjadi kebanggaannya itu mengikut rentak tari tersendiri.

“Ini adalah berdasarkan pemerhatian kami. Bulu ekornya yang mengembang seperti kipas itu adalah kesasaannya. Dan, apabila tiba waktu ini, maksudnya burung Kuang dalam tempoh mengawan,” jelasnya.

MENGAWAN

Memiliki ekor yang panjang serta warna menarik, unggas jantan dalam keluarga burung itu dikenalpasti tergolong sebagai antara tercantik di dunia.

Berbanding burung betina, yang bertubuh kecil dan mempunyai bulu kurang menarik serta berekor pendek.

Keistimewaan yang ada pada burung Kuang Jantan ini, merupakan kelebihan kepadanya selain daripada kehebatan beraksi ‘tarian memikat’.

Dimulakan dengan menguis kawasan yang telah dikenalpasti daripada segala daun-daun kering dan ranting kayu untuk membentuk bulatan kecil seperti sebuah gelanggang sebelum ia ligat menari.

“Kenapa saya fokus masa mengawan adalah kerana perangai burung ini sangat istimewa pada tempoh itu. Ini kerana, ia hanya akan menari dan mengembangkan ekornya yang cantik itu pada musim mengawan sahaja. Tempoh lain ini tidak akan berlaku.

“Kebiasaannya, musim itu berlaku dua kali setahun iaitu awal dan akhir tahun. Cuma, Merak Hijau yang musim pembiakannya dari April hingga Jun,” katanya.

PEMALU

Biarpun demikian, bukan mudah untuk menyaksikan keunikan bulu ekor burung Kuang jantan ciptaan Tuhan ini sama ada di mana-mana zoo mahupun habitat asalnya sendiri, di hutan.

Selain sebagai antara haiwan berdarah panas yang sangat pemalu, taburannya juga berada di tahap kritikal berikutan populasi burung ini semakin berkurang.

Malahan, ia telah dikategorikan sebagai antara spesies burung terancam di negara ini.

Pembukaan hutan dan pengecilan habitat akibat aktiviti manusia misalnya, antara faktor yang menjurus kepada keruncingan populasi burung Kuang dalam kelangsungan kehidupan.

Bagaimanapun, senario ini tidak dipandang ringan sejajar dengan matlamat pelestarian khazanah negara.

Justeru, burung ini telah diberi perhatian sewajarnya apabila ia disenaraikan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)-Hidupan Liar yang Diperlindungi Sepenuhnya (Jadual Kedua).

KONSERVASI

Usaha melindungi spesies terancam ini, tidak hanya khusus kepada pelaksanaan akta itu sahaja. Tetapi, bersifat holistik dengan pewujudan masa depan lebih baik bagi burung itu mempertingkatkan daya potensi survivalnya.

Pusat konservasi, antara satu wahana pragmatik dalam misi pencambahan kuantiti burung itu. Malahan, pendekatan ini dianggap sangat penting dalam pemastian burung Kuang tidak menjadi antara mangsa lipatan sejarah ekoran kepupusannya itu.

Terletak di Jemaluang, Johor, iaitu 18 kilometer dari bandar Mersing, Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) ini adalah antara satu projek yang berusaha merealisasikan matlamat itu.

Selain di Jemaluang, terdapat dua lagi pusat serupa iaitu PKHL Sungkai Perak dan Pusat Pendidikan Biodiversiti Bukit Marak, Terengganu.

PKHL Jemaluang, merupakan projek di bawah Jabatan Perhilitan Johor dan bahagian Konservasi Ex-situ Jabatan Perhilitan yang memfokuskan kepada pembiakan spesies burung Kuang.

TIGA SPESIES

Berkeluasan 22 hektar, hanya tiga spesies burung Kuang dari keluarga Phasianidae yang dibiakkan di sini iaitu Kuang Raya (Argusianus argus), Merak Pongsu (Malaysian Peacock Pheasant) dan Merak Hijau (Green Peafowl).

Untuk makluman, terdapat 19 spesies burung Kuang di negara ini tetapi di Semenanjung hanya ada 15 spesis.

“Tujuan utama projek ini adalah bagi pembiakan dalam kurungan (pengurusan secara ex-situ) dan konservasi burung Kuang. Ianya bertujuan menambah bilangan burung itu dalam kurungan untuk dijadikan stok pelepasan semula ke habitat asal untuk meningkatkan populasi liar di dalam hutan,” katanya.

Ditubuhkan pada 2001, pusat ini hanya memfokuskan burung Kuang kerana dikhuatiri pencampuran pelbagai unggas lain boleh menjejaskan usaha pembiakan spesies terancam ini.

Ia adalah susulan daripada nasihat doktor veterinar mengenai kemungkinan penularan penyakit seperti Influenza A atau H1N1.

Menurut Nuraida, terdapat 53 ekor burung Kuang daripada tiga spesies itu pada masa ini yang ditempatkan dalam 35 sangkar.

“Bilangan Kuang Raya pada tahun ini ialah 15 ekor, Merak Pongsu sebanyak 28 ekor manakala Merak Hijau 10 ekor,” katanya. Selain pembiakan, pusat ini juga menjalankan penyelidikan antara lain untuk mengetahui tingkah laku, gerak geri dan tabiat pemakanan haiwan itu.

PENGURUSAN PEMBIAKAN

Berkaitan pengurusan pembiakan, terdapat dua kaedah yang digunakan di pusat konservasi ini sama ada semula jadi iaitu ibu haiwan mengeram secara
normal.

Ataupun, melalui inkubator iaitu memerlukan sokongan kerana tidak semua ibu burung itu boleh mengeram dengan sendirinya. Ada ketikanya ia bertelur, tetapi kemudian dibiarkan begitu sahaja.

“Disebabkan itulah, antara satu inisiatif kita adalah mengambil telur itu dan dimasukkan ke dalam inkubator bagi proses pengeraman,” jelasnya.

Tempoh mengeram bagi tiga burung ini adalah berbeza mengikut pada saiz telurnya. Burung Kuang Raya misalnya, memerlukan tempoh pengeraman selama 24 hingga 26 hari dan kebiasaannya telur dihasilkan adalah dua biji.

Manakala, Merak Pongsu memerlukan tempoh pengeraman selama 22 hingga 23 hari dan telur dihasilkan antara satu hingga tiga biji. Bagi Merak Hijau pula, kebiasaan telur dihasilkan empat hingga enam biji dan tempoh pengeraman selama 28 hari.

“Ia diberi menu diet seperti buah, kekacang, dedak, sayur, telur dan ulat roti sebagai sumber protein. Air vitamin juga diberikan bagi mengurangkan tekanan kerana burung-burung ini mudah rasa tertekan apabila terkejut,” katanya.

KESELESAAN

Dalam pada itu, aspek kebajikan turut mengambilkira landskap sangkar semasa mendekorasikannya bagi mewujudkan suasana yang selesa seolah-olah burung ini tinggal dalam habitatnya sendiri.

Oleh itu, kerja-kerja membaikpulih seperti menukar kayu pokok akan dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memudahkannya untuk bertenggek.

Selain konservasi dalam kurungan, Jabatan Perhilitan juga mengadakan program pelepasan burung Kuang dan antara spesies yang terlibat adalah Merak Pongsu dan Kuang Cermin.

“Burung ini bukanlah selama-lamanya di sini. Apabila umurnya mencecah dua tahun ke atas, ia akan dilepaskan ke hutan,” katanya dan menambahkata sudah 35 ekor burung telah dilepaskan sejak 2001. – BERNAMA