Wan Nasrudin (kanan) menemani Wan Adam Iqbal belajar. |
ALOR SETAR - Biarpun mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan, seorang murid tahun enam tetap berlatih menggunakan tangan kanannya yang cedera bagi membolehkan dia menjalani Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda, Wan Adam Iqbal, 12, terpaksa menjawab kertas peperiksaan UPSR di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas terbabit dalam kemalangan hujung Ogos lalu.
Bapanya, Wan Nasrudin Azam, 46, berkata, anaknya itu terlibat dalam kemalangan selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tanjung Kapor, Jitra bersama adiknya, Wan Adam Ilmi, 7.
"Anak saya dimasukkan ke wad pada 29 Ogos sebelum dibenarkan keluar 2 September lalu. Tapi Iqbal kena masuk semula wad pada 5 September lalu bagi membolehkan dia menduduki UPSR selama tiga hari.
"Akibat kemalangan, Iqbal alami kecederaan di beberapa bahagian seperti tangan dan paha kiri selain menerima jahitan di kepala," katanya.
Manakala, Iqbal yang ditemui selepas selesai menjawab soalan peperiksaan bahasa Melayu dan Matematik tetap tekun mengulang kaji pelajaran.
Iqbal berkata, dia enggan kesakitan dialami akibat kemalangan berkenaan menghalang dia menjawab soalan peperiksaan UPSR.
"Cuma saya kena ambil masa nak jawab soalan sebab tangan kanan berbalut simen selepas terlibat kemalangan," katanya.
Katanya, dia membuat latihan subjek-subjek yang bakal diambil dalam peperiksaan sebagai persediaan dengan menggunakan buku dibawa bapanya ke hospital.
"Saya harap dapat keputusan cemerlang 5A sekali gus dapat masuk ke sekolah impian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, kira-kira tujuh murid mengambil peperiksaan di hospital setakat ini di Kedah.
Sumber: Sinar Harian