Abd Samat (tengah) dan isterinya (dua, kanan) bergambar kenangan bersama pelakon telefilem Wira Ihsan, Reen Rahim (kanan). |
PEPATAH Melayu ‘jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ seakan-akan tepat menggambarkan kehidupan seorang ahli perniagaan merangkap produser kelahiran Kampung Pantai Johor, di sini.
Meskipun kehidupan Mejar (K) Abd Samat Che Noh, 52, kini sudah senang lenang tanpa dibebani masalah seperti dahulu, namun pelbagai suka duka dilalui sebelum mencapai tahap kini.
Malah, nama Abd Samat sebagai produser kini dilihat makin meningkat naik setanding produser lain dengan karyanya yang sarat pengajaran dan nasihat untuk masyarakat.
Sebelum bergelar produser, Abd Samat bekerja sebagai eksekutif teknikal di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka negara dan berhenti kerja pada 2002.
Abd Samat berkata, ketika itu, dia dan isterinya mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).
Menurutnya, selepas berhenti dia membuka sebuah pusat tuisyen di Alor Setar.
“Dengan modal kira-kira RM50,000, kami memulakan pusat tuisyen tersebut demi membuka mata orang awam khususnya orang Melayu mengenai kepentingan pelajaran tambahan kepada pelajar pada masa itu.
“Disebabkan sudah lama makan gaji, kami cuba ingin keluar dari kepompong sebelum ini. Namun, memulakan perkara baru bukanlah mudah, sebaliknya ia mengambil masa,” katanya.
Tanpa pengalaman sebagai guru, tindakan mereka berdua membuka sebuah pusat tuisyen dilihat agak janggal, namun katanya, dia tekad demi misinya membantu masyarakat.
Lalui lima tahun penuh ranjau
Abd Samat berkata, mereka melalui pelbagai dugaan dalam tempoh lima tahun terawal demi memastikan perniagaan diusahakan untuk anak bangsa tidak menanggung kerugian.
Misalnya, katanya, dia pernah berdepan masalah kewangan namun, mereka tetap bekerja seperti biasa tanpa goyah mahupun putus asa memikirkan dugaan sebegitu.
“Sewaktu kerja makan gaji, saya sepatutnya ke pejabat pada jam 9 pagi, manakala pulang pada 5 petang. Namun, saya sanggup bekerja lebih masa. Saya masuk jam 7 pagi dan balik pada jam 8 malam,” katanya.
Abd Samat berkata, dia menggunakan konsep sama sewaktu membuka perniagaan sendiri, malah ia menunjukkan perkembangan baik apabila ramai ibu bapa yakin pada perkhidmatan ditawarkan mereka.
Katanya, tahap disiplin tinggi berkemungkinan banyak membantu mereka mencapai tahap kini, sekali gus diterima orang ramai khususnya masyarakat setempat.
Sampai mesej melalui drama
Pada 2010, Abd Samat membuka syarikat produksi dikenali sebagai Inovasi Movie Sdn Bhd untuk memberi inspirasi dan menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat setempat melalui caranya yang tersendiri.
Katanya, dia gembira apabila beberapa telefilem hasil keluaran syarikatnya, seperti Nurin Najwa dan Ampunkan Aku Suami memberi kesedaran kepada penonton.
“Sebagai contoh, telefilem Wira Ihsan ditayangkan baru-baru ini. Telefilem berkenaan menyampaikan mesej pengorbanan beberapa anak muda terhadap negara, sekali gus dilihat mampu memupuk patriotisme,” katanya.
Tidak ketinggalan, katanya, dia turut menghasilkan dokumentari sejarah, seperti ‘Battle of Jitra’ ataupun Peti Surat Dasar Laut demi mendidik masyarakat mengenai kisah sejarah.
Kini, bapa kepada tiga anak berkenaan mampu tersenyum bangga apabila syarikat miliknya makin dikenali ramai, sekali gus membolehkan dia kian dikenali sebagai produser meningkat naik.
Sumber: Sinar Harian