Cerita Di Sebalik Keunikan Masjid Besar Moscow, Ke-2 Terbesar Di Eropah

Masjid "Cathedral", Masjid Besar Moscow
MOSCOW – Ada menyebutnya sebagai Masjid Cathedral kerana seni binanya hampir menyerupai gereja penganut Kristian Ortodok Rusia, namun itulah kehebatan Masjid Besar Moscow yang baharu dibuka kepada umum.

Merupakan masjid terbesar di Rusia dan kedua terbesar di benua Eropah selepas Moschea Roma, di Rom, Itali yang boleh memuatkan 12,000 jemaah; masjid di ibu kota Rusia ini boleh menampung lebih 10,000 jemaah.

Juga dikenali sebagai Masjid Jum’ah, ia baharu sahaja dibuka secara rasmi oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin pada 23 September lalu, sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha di negara saiz paling besar di dunia itu.

Masjid menelan kos AS$170 juta (RM745 juta) itu mengambil masa panjang untuk dibina, iaitu 10 tahun dan menampung 10 kali lebih ramai jemaah berbanding masjid lama di tempat sama yang dirobohkan pada 2011.


Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Mufti-Mufti Rusia, Rushan Abbyasov, yang dipetik akhbar berpengaruh Rusia, The Moscow Times baru-baru ini.

Antara pemimpin-pemimpin luar negara yang hadir pada majlis pembukaan rasmi masjid tersebut ialah Presiden Palestin, Mahmud Abbas dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selain penderma ternama dari Kazakhstan.

Masjid setinggi enam tingkat dan seluas 19,000 meter persegi itu merupakan antara masjid yang terbesar di benua Eropah, menurut Abbyasov. Ia juga dimuatkan dengan skrin-skrin video memaparkan maklumat semasa.

(Dari kiri) Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Russia Vladimir Putin dan Presiden Palestin, Mahmud Abbas pada majlis pembukaan Masjid Besar Moscow. (Gambar: AFP / VASILY MAXIMOV)
Masjid lama, yang dibina pada 1904, dahulu merupakan satu-satunya masjid di Rusia semasa era Kesatuan Soviet. Kerja-kerja pembinaan semula dijalankan pada Mei 2005, namun pada 2011, bangunan lama itu dirobohkan.

Abbyasov bagaimanapun berkata, masjid baharu yang lebih besar itu pun masih lagi tidak dapat mengatasi masalah kekurangan ruang solat bagi umat Islam di Moscow, yang dianggarkan seramai lebih dua juta orang.

Beliau berkata bandar raya itu hanya mempunyai empat buah masjid termasuk Masjid Besar Moscow, dengan tiga lagi masjid tersebut hanya mampu menampung sehingga maksimum 2,000 jemaah untuk setiap sebuah.


Rusia kini mempunyai lebih 20 juta umat Islam, iaitu 15 peratus daripada jumlah penduduk, majoritinya masyarakat kaum Tatar; sekali gus membentuk agama kedua terbesar di negara itu selepas Kristian Ortodok.

5 FAKTA MENARIK MASJID BESAR MOSCOW

1) Antara masjid terbesar di Rusia

Masjid Besar Moscow dirobohkan sebelum dibina semula, dan merupakan antara masjid paling besar di Rusia. Menara-menara masjid itu setinggi 72 meter, sementara kubahnya setinggi 46 meter.

Masjid baharu itu boleh menampung sehingga 10,000 orang, serta dimuatkan dengan tujuh lif, ruang solat berhawa dingin, dan mempunyai kemudahan mesra golongan kurang upaya.

Ia sebenarnya masjid kedua paling besar di Rusia selepas Masjid Salawat Yulayev, yang bakal menjadi masjid terbesar di negara tersebut, dan kini sedang giat dibina di Ufa.

2) Kos pembinaan lebih AS$170 juta

Pembinaan semula masjid itu menelan belanja AS$170 juta, dengan kebanyakan kos itu dibiayai oleh jutawan, tokoh perniagaan dan ahli parlimen Rusia, Suleyman Kerimov, sempena memperingati ayahnya.

Kos pembinaan juga dibiayai sumbangan derma individu-individu lain termasuk Presiden Palestin, Mahmud Abbas, yang menyumbang AS$26,000 mewakili bagi pihak kanak-kanak Palestin.

Turki pula mendermakan mimbar, dan sebuah mihrab. Dinding dan siling masjid dihiasi ukiran tradisional Rusia, diukir tukang dari Turki. Kubah dan astaka masjid pula disadur dengan selaput emas seberat 12 kilogram.

Kenapa emas? Ini ceritanya iaitu para arkitek memutuskan untuk meliputi kubah masjid itu langsung dengan emas agar ia sepadan landskap dan kubah emas gereja-gereja tempatan di sekitar Moscow.

3) Lokasi di tempat bersejarah

Tapak tanah di Vypolzov Lane, di mana masjid itu dibina, asalnya dibeli oleh para pedagang Tatar pada 1902. Masjid asal dibina pada 1904, dan kekal di tapak tanah tersebut sehingga ia dirobohkan pada 2011 lalu.


4) Kontroversi perobohan masjid

Perobohan masjid asal mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk dan pihak pejuang pemuliharaan bandar. Penyelaras Arkhnadzor, kumpulan pemuliharaan di Moscow, menyifatkannya sebagai tindakan tidak bertamadun.

Beberapa pertubuhan dan pemimpin Islam tempatan juga mengutuk langkah tersebut, serta menuduh Lembaga Mufti-Mufti Rusia melanggar undang-undang kerajaan dan memusnahkan warisan sejarah Moscow.

Namun Lembaga Mufti-Mufti ketika itu berkata kerja-kerja pembinaan semula itu perlu dijalankan kerana tapak bangunan lama masjid sebahagiannya tertimbus dalam tanah dan ia tidak lagi selamat untuk jemaah.

5) Moscow masih kekurangan masjid

Dianggarkan, sehingga 100,000 jemaah terpaksa berhimpun di luar masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat selain semasa perayaan-perayaan keagamaan penting seperti sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Ini menyebabkan jalan-jalan raya dan ruang pejalan kaki yang berdekatan penuh sesak dengan jemaah untuk menunaikan ibadah solat. – Agensi