Cuaca Tidak Menentu, Penoreh Di Padang Terap Tertekan Pendapatan Terjejas

Hafiz membuang air hujan yang bertakung di dalam cawan susu getah.
KUALA NERANG - Kehidupan penoreh getah di sekitar Padang Terap semakin tersepit dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

 Hujan sejak di akhir-akhir ini menyebabkan mereka tidak dapat menoreh dan ini menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan sementara.

Penoreh, Hafiz Azmi, 24, berkata, sejak seminggu dia sudah tidak dapat menoreh getah kerana hujan setiap hari dan menjejaskan pendapatannya.

Menurutnya, hujan yang turun setiap hari menyebabkan dia tidak dapat menoreh getah dan kini terpaksa mencari alternatif untuk mencari kerja lain buat sementara waktu.

“Jika awal pagi cuaca nampak elok tetapi apabila tengah hari atau petang hujan mulai turun dan ini menyebabkan ramai penoreh getah di sini terpaksa gantung pisau toreh buat sementara waktu.

“Keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan sumber pendapatan kami terjejas walaupun harga getah tidaklah tinggi sangat tetapi ia sumber pendapatan utama, kami terpaksa melakukannya juga,” katanya.

Hafiz berkata, selepas pendapatan penoreh getah terjejas ada dalam kalangan mereka terpaksa meminjam duit daripada tauke getah bagi membeli makanan dan kemudiannya akan membayar kembali selepas mampu menoreh semula.

Jelasnya, kini penoreh bernasib baik kerana pengusaha padi sedang membajak sawah dan ini memberi peluang kepada mereka untuk mencari ikan dalam sawah sebagai sumber makanan seharian.

“Kedatangan Aidiladha tidak lama lagi sudah pasti menjejaskan persiapan tetapi nasib baik saya belum berkeluarga lagi, hanya menjaga kedua ibu bapa sahaja. Bagi mereka yang mempunyai keluarga sudah pasti persiapan mereka agak kurang sedikit.

“Bagaimanapun sebagai penoreh kami terpaksa menerima hakikat itu kerana pada musim hujan seperti ini sudah pasti pendapatan kami akan terjejas,” katanya.

Sementara itu, pembeli getah, Mohd Adil Abu Bakar, 35, berkata, sejak hujan beberapa hari itu bekalan getah turut merosot kerana penoreh tidak dapat bekerja.

“Sebelum ini semasa cuaca baik setiap hari saya mampu menerima getah sebanyak 10 hingga 16 tan sehari tetapi dengan cuaca seperti hari ini hanya mampu memperoleh sebanyak dua hingga lima tan sehari.

“Kemerosotan bekalan getah ini juga menyebabkan saya mengalami kerugian kerana terpaksa menanggung pelbagai kos. Saya berharap cuaca hujan seperti sekarang  tidak berlarutan lama supaya penoreh dapat menoreh kembali,” katanya.

Sumber: Sinar Harian