Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim |
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membidas kenyataan Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz yang menyifatkan Malaysia berdepan krisis rasuah dan sebuah negara yang gagal.
"Ia komen yang tidak adil. Transparency International (TI) membuat kenyataan tidak berasas," katanya ketika ditemui pemberita di Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Khamis.
Menurut Tunku Abdul Aziz, sesuatu kes menyelubungi Malaysia yang masih belum diselesaikan sehingga hari ini (1MDB), tidak membuktikan Malaysia berdepan krisis rasuah.
"Saya sifatkan kenyataan itu tidak berasas. Ia adalah kenyataan tidak cukup maklumat," katanya.
Pada Rabu, Uqaz dalam ucapan perasmian persidangan IACC menegaskan Malaysia menghadapi krisis rasuah berikutan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan derma bernilai RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.
Malah, Uqaz turut meminta Najib untuk mendedahkan identiti penderma dana tersebut.
Sementara itu, Tunku Abdul Aziz turut menegaskan SPRM masih lagi menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.
Justeru katanya, orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan berdasarkan undang-undang.
"Saya sedar kes ini melibatkan sejumlah wang yang besar tetapi siasatan yang betul dan teliti perlu dilakukan sebelum tindakan susulan diambil.
"Mengapa mereka tidak boleh tunggu sehingga siasatan dilengkapkan?," soalnya.
Pada masa sama, Tunku Abdul Aziz turut menuntut penjelasan daripada Ugaz berhubung kenyataan tersebut.
"Jika Najib didapati bersalah dan sekiranya undang-undang memutuskan beliau harus dihukum gantung, maka teruskan dan lakukannya.
"Namun ingin saya tegaskan di sini bahawa kita ditadbir oleh kedaulatan undang-undang di negara ini . Itu adalah asas sistem perundangan kita , " kata Tunku Abdul Aziz.
Sumber: mStar