DAP, Amanah Punca PAS Tidak Sertai Pakatan Rakyat 2.0

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
KUALA LUMPUR – PAS hari ini mengumumkan keputusan parti itu untuk tidak menghadiri perbincangan meja bulat parti-parti pembangkang yang berlangsung pagi ini bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak menyertai perjumpaan itu walaupun dijemput oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“PAS menghargai jemputan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

“Namun PAS memilih untuk tidak menghadirinya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim dalam pada itu turut menegaskan bahawa PAS tidak akan mewujudkan sebarang kerjasama yang terbentuk sekiranya membabitkan DAP mahupun Parti Amanah Negara (Amanah).

PKR, DAP dan Parti Amanah mengadakan perbincangan meja bulat di Selangor hari ini bagi membincangkan pembentukan gabungan baharu parti pembangkang.

Ketiga-tiga parti itu pada awalnya mahu mengenepikan PAS dalam gabungan baru tersebut kerana percanggahan pendapat mengenai hukum Islam, khususnya hukum hudud.

Bagaimanapun, PKR membuat pusingan-U dengan mempelawa PAS menyertai gabungan baharu tersebut kerana dikatakan bimbang akan kehilangan undi Melayu dan Kerajaan PKR-DAP di Selangor.

Dilaporkan bahawa tindakan PKR itu dibuat ekoran kurangnya kehadiran peserta dari kalangan bangsa Melayu yang menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara baru-baru ini bagi mendesak kerajaan Malaysia diserahkan kepada DAP dan PKR. -Kedahnews.com