Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh |
DAP memberi kata dua kepada PKR untuk menjelaskan pendirian parti itu untuk memilih satu sahaja parti, sama ada DAP atau PAS, untuk bersama membentuk gabungan pembangkang baru yang dijangka termetri pada 16 September ini.
Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menegaksan bahawa Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menyatakan pendirian sama ada PKR akan bekerjasama dengan PAS jika pakatan Pembangkang baru diwujudkan.
Kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu, Azmin perlu membuat pilihan sama ada bekerjasama dengan DAP atau PAS kerana hubungan di antara kedua-dua parti pembangkang itu jelas tidak sehaluan untuk bersama.
"Azmin perlu pilih untuk bekerja dengan yang mana satu pada masa akan datang, kerana tidak lagi realistik untuk pakatan antara DAP dengan PAS," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas berlaku "perang" di media sosial antara Azmin dengan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berikutan kesediaan Azmin untuk bekerjsama dengan PAS.
Ramkarpal berkata, kenyataan Azmin itu tidak wajar kerana ketegangan dalam Pakatan Rakyat yang membawa kepada perpecahan pakatan rakyat berpunca daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, tindakan Hadi bukan sahaja mencetuskan kontroversi dengan DAP tetapi juga dengan ahli-ahli partinya sendiri yang bertindak membentuk Parti Amanah Negara (Amanah). -Kedahnews.com