DAP Kata, "No PAS No Problem", Parti Amanah Ada...

Pemimpin DAP, Dr. Ong Kian Ming
ALOR SETAR – Keengganan PAS menyertai Pakatan Harapan tidak akan memberi kesan kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana mempunyai Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai parti Islam baharu menggantikan PAS.

Pemimpin DAP, Dr. Ong Kian Ming sebaliknya berkata, pandangan pihak tertentu kononnya ketiadaan PAS akan menyebabkan Pakatan Harapan kehilangan undi Melayu tidak benar kerana Amanah juga mampu meraih undi Melayu bagi pihak DAP dan PKR.

“Hujah ini bermasalah. Andaian hanya PAS (parti pembangkang) boleh menang di kawasan luar bandar perlu diperiksa semula, daripada 15 kerusi Parlimen yang pembangkang menang pada 2008 tetapi gagal mempertahankan pada tahun 2013, sebanyak 10 kerusi itu adalah di kubu kuat PAS iaitu Kedah dan Kelantan.

“Ia disebabkan pimpinan PAS tidak cekap mentadbir kerajaan negeri. Malah menjadi kebimbangan PAS mungkin tidak dapat mempertahankan kerajaan Kelantan selepas kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Kian Ming berkata, hujah ketiadaan PAS menyebabkan Pakatan Harapan tidak dapat undi Melayu juga tidak benar kerana kerajaan PAS Kelantan terbukti tidak berupaya mengambil tindakan sistematik selepas bencana banjir melanda negeri itu.

Justeru, katanya, Amanah yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti itu Jun lalu perlu dibantu sebaik mungkin untuk mendapatkan sokongan Melayu luar bandar bagi pihak Pakatan Harapan.

“Terdapat perkembangan menggalakkan apabila lebih 8,000 keahlian diterima Amanah di Kelantan. Amanah juga dijangka akan kuat di selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menerangkan, mempunyai Amanah sebagai parti Islam progresif yang baharu untuk memenangi masyarakat Melayu bagi pihak DAP dan PRK merupakan satu perkembangan yang baik untuk Pakatan Harapan.

“Lagipun, kemungkinan PAS bakal mempunyai hubungan kerja yang sangat rapat dengan (parti Melayu) UMNO sudah semakin jelas,” katanya lagi. -Kedahnews.com