DAP Kedah Desak Suruh Bina Segera Hospital Di Pendang

Presiden Persatuan Doktor Swasta Kedah, Dr Mohd Tajudin Shafie (kiri) memberi penerangan kepada seorang penduduk sambil disaksikan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang (berdiri, kiri) dan Kok Yew (berdiri, tengah), semalam.
PENDANG - Kerajaan diminta menyegerakan pembinaan Hospital Pendang seperti yang dijanjikan sejak 2006.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, perkhidmatan hospital menjadi keutamaan kepada penduduk di daerah itu.

Beliau berkata, sebelum ini pembinaan Hospital Pendang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan keluasan 16.8 hektar tetapi ditunda kepada RMK-10 atas sebab tertentu.

“Kegagalan kerajaan membina hospital itu adalah amat mengecewakan terutama kepada penduduk di daerah Pendang.

“Tapi sampai sekarang Hospital Pendang belum dilaksanakan setelah kerajaan memutuskan untuk membina dalam RMK-11,” katanya selepas menghadiri program pemeriksaan kesihatan percuma di Surau Kampung Kedah, Guar Kepayang, di sini, semalam.

Adun Derga itu berkata rancangan pembinaan hospital di Kampung Batu Hampar yang terletak kira-kira dua kilometer dari Pekan Pendang akan memudahkan penduduk setempat berurusan kerana berdekatan kawasan perumahan.

“Sekarang rakyat Pendang menghadapi kesukaran kerana perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital luar daerah, khususnya ke Alor Setar.

Sumber: Sinar Harian