Ahli DAP, Datuk A Samad Said |
Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mendakwa ahli DAP, Datuk A Samad Said telah diperguna oleh DAP untuk membangkitkan perasaan marah di kalangan bangsa Melayu.
Katanya, tindakan sasterawan negara itu bukan saja menghina, malah turut mendorong kebangkitan bangsa Melayu ekoran rasa tercabar dengan hinaan sedemikian rupa.
“Kenyataan itu secara tak langsung beri penghinaan besar kepada seni silat kerana katanya ini bukan zaman silat,” kata Megat Zulkarnian kepada media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di Batu Cave semalam.
Samad yang menyertai DAP dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan bahawa seni mempertahankan diri silat Melayu hanya khazanah untuk persembahan sahaja dan tidak lagi berguna di zaman moden ini untuk mempertahankan negara.
Katanya Samad yang turut dikenali sebagai Pak Samad, silat pada zaman sekarang adalah khazanah untuk dipertunjukkan sahaja bukan untuk mempertahankan diri lagi.
Kata Megat Zulkarnain, tindakan Pak Samad itu adalah sinonim dengan cubaan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang cuba mengharamkan seni mempertahan diri bangsa Melayu itu sebelum ini, namun gagal apabila pengamal silat bangkit mengecam cubaan tersebut.
“Begitu juga dengan kes Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) pernah cuba mengharamkan silat di Pulau Pinang, tapi bila (penggiat) silat bangkit, dia tak jadi untuk haramkannya.
"Dia tahu pengaruh silat ini besar, sekarang mereka cuba gunakan Pak Samad untuk membangkitkan kemarahan rakyat pula,” katanya yang dipetik dari portal pro-pembangkang, Malaysiakini.
Megat Zulkarnain turut memberi amaran keras kepada Pak Samad, DAP mahupun mana-mana pihak di negara ini supaya jangan sesekali cuba "mengusik" budaya masyarakat Melayu.
"Kita boleh aturkan 10 anak muda main silat yang dia kata tidak praktikal, dengan syarat bawa anak muda DAP juga untuk tengok. Jangan usik budaya kita, jangan salahkan Melayu untuk bangkit nyatakan perasaan," katanya. -Kedahnews.com