Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
KUALA LUMPUR – DAP menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya segera mengadakan mesyuarat bersama bagi menyusun strategi menawan negeri Johor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tanpa menyenaraikan PAS dalam kerjasama itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara itu tidak boleh dilengahkan kerana Johor sudah hampir diperintah oleh parti pembangkang terutama DAP dalam PRU14.
“Lapan tahun lalu tiada siapa terfikir politik di Johor yang sekian lama dikuasai UMNO akan berubah.
“Perkara yang tidak terfikir itu berlaku pada PRU lalu. UMNO/Barisan Nasional (BN) tewas 18 kerusi di Johor. Malah empat kerusi Parlimen di Johor dimenangi DAP dan satu kepada PKR,” katanya dalam satu kenyataan ini.
Sehubungan itu, Kit Siang gembira kerana Amanah Johor yang bakal menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam gabungan pembangkang ditubuhkan malam tadi.
Menurutnya, penubuhan Amanah Johor merupakan langkah pertama unutk membolehkan pembangkang terutama DAP merampas Johor daripada UMNO.
“Ini langkah awal untuk memastikan Malaysia melaksanakan sosio ekonomi yang adil untuk semua.
“Syarat awal untuk menawan Putrajaya adalah dengan menawan Nusajaya,” katanya. -Kedahnews.com