Gambar Hiasan: Ashraf dan ibu tirinya, Siti Nurhaliza memang rapat dan mesra |
Diva No.1 negara, Datuk Siti Nurhaliza menafikan cakap-cakap orang konon anak tirinya mempergunakan popularitinya menjana perniagaan menerusi cara pengiklanan review Instagram di laman sosial penyanyi tersebut.
Sebagai ibu tiri, Siti merasakan tidak salah sekiranya beliau ingin membantu anak tirinya, Ashraf Khalid dalam memajukan syarikat pengurusan yang diusahakan miliknya sendiri, A Klasse Management.
“Saya cuma menyokong dan membantu anak bujang saya. Kitakan dah dalam satu keluarga, jadi tidak salah jika saya menolong dia. Semua anak-anak Dato K suka melakukan bisnes, cuma agresif atau tidak sahaja.
“Asyraf memang agresif dan sejak dari kecil lagi dia sudah ada minat dalam dunia perniagaan. Dia pernah menjual telefon bimbit dan dengan sikapnya yang mudah bergaul.
“Saya yakin cabang perniagaan ini memang sesuai dengan dia terutamanya yang membabitkan dunia hiburan,” katanya yang dipetik portal Tonton Extra.
Siti sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan mengikut jejak langkah kebanyakan selebriti yang membuat review di Instagram sebagai salah satu daripada punca pendapatan mereka.
Namun, Siti hanya akan berkongsikan review yang ditulis oleh A Klasse Management dan memaparkan menerusi laman sosialnya itu kelak.
Setakat ini, penyanyi tersohor negara itu mempunyai sebanyak 1.9 juta pengikut di laman Instagramnya. -Kedahnews.com