Datuk Siti Nurhaliza Pun Sudah Buat IG Review Juga?


SEJAK kebelakangan ini sudah menjadi trend ramai selebriti tempatan membuat perkhidmatan ‘Instagram (IG) Review‘ bagi membantu peniaga-peniaga online dan dalam masa yang sama dapat menambah pendapatan.

Tidak terkecuali buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang turut serta terbuka melakukan servis berkenaan di akaun laman sosial miliknya itu.

Bagaimanapun, Siti berkata, perkhidmatan itu akan diuruskan oleh syarikat anak tirinya, Ashraf Khalid iaitu A Klasse Management Sdn. Bhd. dengan bayaran yang ditetapkan.

“Saya memang tidak pernah buat ‘IG Review’ sebelum ini. Setakat meletakkan nama peniaga online yang memberi hadiah seperti tudung atau baju di IG adalah, tetapi jarang.

“Lagipun sekarang ini ramai artis yang membuat ‘IG Review‘ dengan mengenakan caj bayaran, sekarang saya pula mengikut jejak mereka.

“Cuma saya tak payah fikir nak taip apa. Semuanya disediakan pihak A Klasse dan saya hanya memuat naik di IG sahaja,” katanya kepada mStar Online.

Pada masa yang sama, Siti menyifatkan perkhidmatan itu adalah situasi berbentuk menang-menang bagi peniaga yang mahu melonjakkan jualan mereka menerusi selebriti yang mempunyai jumlah pengikut di laman sosial yang ramai. -Kedahnews.com