Bangkok - Apabila tentera laut Thailand menegaskan kadet tidak dibenar membawa telefon ketika latihan, mereka benar-benar maksudkannya kerana melalui rakaman video yang tersebar di media sosial minggu ini menunjukkan sekumpulan kadet yang melanggar peraturan itu memecahkan telefon masing-masing.
Video itu menunjukkan sekumpulan kadet berdiri sebaris dengan telefon masin-masing di lantai di tepi blok konkrit.
“Kamu bawa ini bukan? Mahal kan?” kedengaran kata-kata pegawai yang mengarahkan kadet terbabit menyatakan jenama telefon, mengarahkan mereka duduk dan berkata: “Pecahkan!”
Video itu sudah dilihat ratusan ribu kali di Facebook, YouTube forum media sosial popular Thailand serta mencetuskan kritikan terhadap hukuman itu yang dianggap tidak sepadan dengan kesalahan.
Ramai yang memberi komen berpendapat pihak tentera sepatutnya merampas telefon berkenaan dan memulakannya selepas tamat latihan.
Menurut kenyataan tentera laut Thailand, kejadian berlaku di Sekolah Teknologi Perhubungan dan Maklumat yang melarang pelajar membawa telefon bimbit tetapi sering tidak diendahkan.
“Pengajar di sekolah itu melaksanakan sistem mereka yang melanggar peraturan itu perlu dengan sukarela memusnahkan telefon.
“Peraturan tidak dihormati menyebabkan sekolah melaksanakan hukuman itu,” kata kenyataan itu yang disiarkan pada laman web stesen radio tentera laut. - AP