Hidung patah dibelasah 20 lelaki Mohamad Roy menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. |
KUALA LUMPUR – Gara-gara dendam sejak setahun lalu terhadap seorang kaki motor, seorang wanita berusia 44 tahun mengupah 20 lelaki untuk membelasahnya di pusat rekreasi Taman Dato Keramat, dekat sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, wanita ini berang dengan tindakan lelaki itu yang didakwa pernah menyebabkan dia mengandungkan anaknya dahulu.
Wanita tersebut yang masih berdendam dengan warga Indonesia berusia 21 tahun itu merancang untuk bertemu dengannya dengan menggunakan anak angkatnya sebagai orang tengah dalam urusan jual beli topi keledar.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa, seorang ejen pelancongan, telah bertemu dengan anak angkat wanita itu.
“Ketika itu, mangsa yang sedang berbincang tiba-tiba didatangi 20 lelaki dan wanita berkenaan.
“Mangsa kemudian dipukul menggunakan kayu, buku lima dan besi hingga menyebabkannya hidungnya patah. Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah di Taman Keramat dan motosikalnya jenis Kawasaki RR, wang tunai RM800, telefon bimbit dan rantai emas dirampas,” katanya pada sidang media, semalam.
Mohamad Roy berkata, selepas dibebaskan, mangsa menghubungi bapanya dan membuat laporan polis.
“Mangsa mengenali orang tengah daripada laman sosial sejak lapan bulan lalu. Penjual ini hanya sebagai modus operandi wanita itu untuk mengenakan mangsa,” katanya.
Pada jam 3 petang Ahad lalu, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 34 dan 17 tahun di Taman Keramat, serta merampas barang seperti telefon bimbit, anak kunci serta motosikal milik mangsa.
Dua lelaki itu direman lima hari sehingga Khamis ini. Selain itu, pihaknya juga memburu beberapa orang lagi yang terlibat untuk membantu siasatan. – Sinar Harian