Desas-Desus Pecat Pemimpin UMNO, Wanita Tegaskan Jangan Percaya

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta tidak mempercayai khabar angin yang mengatakan ada pemimpin parti akan dipecat pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 9 September ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelbagai versi khabar angin hanya menjadikan kekeliruan kepada semua ahli parti.

“Saya percaya semua tindak tanduk Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibuat dengan penuh bijaksana.

“Jangan dengar khabar angin. Saya sendiri dapat WhatsApp itu, setiap hari senarai berubah,” katanya semasa sidang media selepas perjumpaan tertutup Wanita UMNO bersama Najib di PWTC di sini, pada Khamis.

Beberapa pesanan di applikasi pesanan, WhatsApp sejak beberapa hari menyatakan beberapa pemimpin parti lain akan digugurkan keahlian daripada UMNO pada Mesyuarat MT 9 September ini.

Antaranya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafiee Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Seramai 191 ketua bahagian Wanita UMNO seluruh negara hadir atau menghantar wakil pada perjumpaan tersebut.

Dalam perkembangan Shahrizat turut meluahkan rasa kecewanya dengan kehadiran bekas Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke perhimpunan Bersih 4 pada Sabtu lepas.

“Kita kecewa apa yang berlaku dengan Bersih 4. Kerajaan sudah beri kebebasan undang undang namun apa yang terjadi menyedihkan.

“Kami Wanita UMNO tidak akan maafkan mereka yang memijak gambar pemimpin negara, tidak kira wajah Najib atau Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Wanita tidak mudah dicucuk hidung. Kita juga kecewa Dr Mahathir hadir perhimpunan itu. Kita tidak boleh biar perkara sama berlaku lagi,” jelasnya.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Dr. Mahathir akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berikutan ucapannya dalam perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lalu.

Jelas Khalid, polis akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu dalam masa terdekat. -Kedahnews.com