Diherdik Edry KRU, Che Ta Umum Tinggalkan Kerusi Juri AF 2015

Barisan juri AF2015
Wanita secara lumrahnya memang terkenal dengan memiliki sifat emosional yang tinggi berbanding kaum Adam dan mungkin tidak terkecuali, selebriti jelita yang berasal dari Kedah, Che Ta.

Pelakon dan pengacara itu, mengejutkan ramai dengan keputusan drastiknya apabila mengesahkan tidak mahu meneruskan tugas selaku juri tetap program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015 bermula minggu depan.

Semuanya dek kerana penangan Pengetua AF2015, Edry Abdul Halim bertindak mengherdik aktres jelita itu ekoran tidak berpuas hati dengan kritikannya terhadap persembahan pelajar AF iaitu Sufi tempoh hari.

Barangkali terkilan dengan hal itu, Rozita atau Che Ta akui keputusan itu diambil serta-merta kerana dia tidak menyenangi sikap tidak profesional Edry yang melenting selepas dia mengkritik persembahan pelajar.

“Memang betul saya sudah tarik diri daripada AF2015 mulai minggu depan. Saya tidak suka bekerja dengan orang yang tidak profesional dan emosional.

“Keputusan saya menyertai AF2015 bukan disebabkan wang atau populariti kerana keluar tv setiap minggu dalam program yang mendapat rating tinggi.

“Saya menarik diri sebab maruah. Saya tidak mahu bekerja dalam persekitaran yang tidak sihat apabila ada individu yang tidak hormat pada saya.

“Saya cuma menjalankan tugas diberikan atas nama profesionalisme. Saya hanya berminat bekerja dengan pihak yang mempunyai tahap profesionalisme seperti saya,” kata Che Ta.

Sementara itu, Edry mendakwa dia bertindak demikian semata-mata untuk mempertahankan pelajarnya daripada kritikan tidak membina. 

Pelajar AF2015, Sufi 
Selain itu, ramai warga netizen mengecam Che Ta yang menggelarkan nyanyian pelajar AF2015, Sufi yang dilihatnya terlalu lembut dan belum mencapai tahap rock yang dia inginkan.

Menurut mereka yang menyelar Che Ta itu, lagu Mentari Di Ufuk Timur, nyanyian asal kumpulan Search itu merupakan lagu bergenre ketuhanan yang bersifat slow rock yang tidak memerlukan head banging atau aksi keras untuk mencetus semangat rock.

Pandangan itu berbeza dengan kritikan Che Ta yang menyifatkan persembahan Sufi sebagai kurang umph dan tidak cukup rock di matanya. -Kedahnews.com