Dikutuk "Tak Sedar Diri" Pakai Gaun Frozen, Maria Tunku Sabri Tak Terkesan

Kostum yang dipakai Maria dan Ifa dalam program Jom Singgah baru-baru ini.
Kritikan yang dilemparkan terhadap pengacara Maria Tunku Sabri gara-gara dia memakai gaun watak Elsa menerusi filem animasi Frozen ketika mengacara program Jom Singgah  baru-baru ini tidak memberikan kesan terhadapnya.

Maria, 45, berkata, walaupun dikutuk hebat di laman sosial, namun dia mengambil perkara itu secara positif dan menerima komen-komen yang diberi dengan fikiran terbuka.

"Saya dan Ifa Raziah hanya mengikut kata produksi memakai kostum tersebut kerana mengikut tema Frozen. Saya baca semua komen-komen di internet. 

"Ada yang memuji, ada yang kutuk kata saya tak sedar diri. Awal-awal itu, terasa juga membaca komen-komen orang di internet tetapi perasaan itu bersifat sementara sahaja. 

"Jadi saya mengambil pendekatan untuk berfikir secara positif dan menerima kritikan itu untuk memperbaiki diri pada masa akan datang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa.

Baru-baru ini, Maria Tunku Sabri pada program Jom Singgah telah memakai kostum watak Elsa manakala gandingannya pula, Ifa Raziah mengenakan persalinan watak Anna.

Pemakaian mereka pada program itu mencuri perhatian netizen dan menjadi perbualan ramai di beberapa forum hiburan tempatan.

Rata-rata mereka mengkritik kedua-dua pengacara berkenaan yang menyifatkan mereka tidak sesuai memakai pakaian seperti itu.

Bagaimanapun, ada juga yang memberi komen positif yang menganggap kedua-dua pengacara itu begitu terbuka untuk memakai kostum tersebut. 

"Kalau nak tahu, penyanyi Nurul Depp juga mahu mencari kostum seperti itu tau. Apa-apa pun, saya tidak melatah dengan komen-komen yang diberi.

"Dan saya pun tak marah. Mereka tidak tahu bahawa kita diberi tugasan dan sebagai pengacara kita perlu melaksanakannya," ujarnya.

Dalam pada itu, kata Maria, dia turut menasihatkan kepada pengacara baharu untuk tidak cepat melenting dengan kritikan yang diberi terutamanya yang keluar di laman sosial.

"Jika apa-apa isu timbul jangan melatah kerana ia akan memburukkan reputasi kita secara tidak langsung.

"Selain itu, belajar daripada pengacara-pengacara senior untuk perbaiki diri dan sentiasa merendah diri. Barulah boleh berjaya dan dipandang tinggi," tuturnya yang merupakan duta produk Ribena dan Cornflake.

Jom Singgah merupakan program yang memberi fokus kepada penjualan produk yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan antarabangsa. Ia disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 1.00 tengah hari di TV3.