Gambar Hiasan |
CHANGLUN – Barang kemas di dalam tujuh dulang yang dilapor bernilai kira-kira RM150,000 lesap dalam masa tiga minit apabila dilarikan dua lelaki dari sebuah kedai emas di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari.
Beliau berkata para perompak yang membawa tukul besi dan senapang patah masuk ke dalam premis itu dan memecahkan kaca pameran barang kemas serta mengaut barang kemas di dalamnya sebelum melarikan diri dengan kereta yang diparkir di hadapan premis itu.
“Seorang suspek dilapor turut melepaskan satu das tembakan ke udara ketika penggera kecemasan di premis itu berbunyi,” katanya.
Para perompak kemudiannya dilihat melarikan diri ke arah Kodiang dengan kereta yang kemudiannya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Abd Rahim berkata tiada pelanggan di dalam premis tersebut ketika kejadian.
Sementara itu pemilik kedai berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata ketika kejadian dia dan dua orang anaknya berada di dalam sebuah bilik di dalam kedai berkenaan.
“Saya terdengar ada bunyi orang ketuk dan pukul cermin pameran. Saya terkejut dan masuk semula ke dalam bilik dan segera menyuruh anak lelaki saya menekan alat penggera kecemasan.
“Perompak yang mungkin marah dan cemas apabila alat kecemasan berbunyi, telah melepaskan satu tembakan sebelum mereka melarikan diri,” katanya.
Tan berkata prompak melarikan loket, subang dan cincin.
Seorang pembantu klinik bersebelahan premis itu, Najihah Hamdi, 20, berkata dia terdengar bunyi tembakan dan melihat dua lelaki segera masuk ke dalam kereta dan beredar dari situ. – BERNAMA