Gambar Hiasan |
New Delhi - Polis sedang menyiasat laporan dua pembantu rumah wanita mendakwa mereka dirogol dan dikurung selama beberapa bulan dalam rumah seorang diplomat Arab Saudi di sini.
Menurut Associated Press (AP), diplomat berkenaan kemudian menggunakan kekebalan diplomatik bagi mengelak tindakan manakala Kedutaan Arab Saudi menafikan dakwaan itu.
Dua wanita itu yang bekerja di rumah diplomat berkenaan, diselamatkan Isnin lalu, selepas pertubuhan bukan kerajaan memberitahu polis.
Menurut jurucakap polis, Navdeep Virk, wanita terbabit mendakwa mereka dipukul dan dirogol berulang kali sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, laporan siasatan akan diserahkan kepada Kementerian Luar Negara kerana membabitkan diplomat dan menurut kementerian itu, tindakan akan diambil terhadap diplomat berkenaan jika siasatan mendapati kejadian itu berlaku.
Dua wanita itu berasal dari Nepal dan dibawa bekerja di India dengan diplomat berkenaan oleh agensi pekerjaan, April lalu dan sehingga kini mereka tidak dibayar gaji.
Menurut laporan Indian Express, dua wanita itu ialah anak dan ibu berusia 20 tahun 44 tahun, juga dirogol rakan diplomat berkenaan sama ada di rumahnya atau di tempat lain dengan dalam sesetengah kejadian antara tujuh hingga lapan lelaki pada satu masa.
Mereka diancam dibunuh jika melaporkan kejadian itu. -Agensi