Istana Raja Di Rabat, Maghribi |
Rabat - Dua wartawan Perancis ditangkap atas tuduhan cuba memeras ugut Raja Maghribi.
Eric Laurent dan Catherine Graciet yang menulis buku mengenai Raja Mohammed VI dilaporkan ditahan selepas diserahkan wang oleh seorang pegawai Maghribi.
Peguam kerajaan Maghribi memberitahu Radio RTL Perancis bahawa Laurent menghubungi istana pada Julai lalu menuntut bayaran 3 juta euro (RM14 juta).
Dia dilaporkan memberitahu istana bahawa buku ditulisnya mengandungi pendedahan yang mampu mengaibkan raja.
AFP Perancis melaporkan: “Sejumlah wang diserahkan dan diterima Laurent ketika perjumpaannya dengan pegawai kerajaan Maghribi.”
Syarikat penerbitan Editions du Seuil mengesahkan dua wartawan itu yang pernah menulis sebuah buku mengenai pemimpin Maghribi terbabit - sedang menghasilkan naskhah kedua yang dijadualkan diterbitkan awal tahun depan.
Laman web Maghribi Le360.ma yang mempunyai hubungan baik dengan istana melaporkan wakil Maghribi mengadakan dua pertemuan dengan Laurent yang dipantau polis.
Dua wartawan itu kemudian ditahan selepas meninggalkan restoran sebaik menerima ‘bayaran muka.’
Buku ditulis Laurent dan Catherine, ‘Predator King’ pada 2012 mengkritik pemimpin negara itu termasuk kekayaan diraihnya sejak menaiki takhta pada 1999.
Undang-undang Maghribi melarang kritikan terhadap raja yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun. - Agensi