Duta China Ke Malaysia "Lari" Ikut Jalan Bawah Tanah, Elak Media

Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang 
Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang dilaporkan berjaya "melarikan diri" dari media apabila meninggalkan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi jalan tingkat bawah tanah.

Huang yang selesai mengadakan pertemuan dengan Menteri KPDNKK, Datuk Hamzah Zainudin yang memangku tugas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Putrajaya, menjadi tumpuan media sejak pagi semalam.

Mesyuarat tersebut dikatakan telah berlangsung lebih dua jam, diadakan di pejabat Hamzah di KPDNKK di kawasan di bangunan pentabdiran kerajaan berkenaan.

Pertemuan itu diadakan kerana kerajaan Malaysia memohon penjelasan mengenai kenyataan Huang yang dikatakan cuba campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia yang dibuat ketika mengadakan lawatan ke Petaling Street pada Jumaat lalu.

Beliau dikatakan tiba di pejabat Hamzah kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.

Memetik dari media, seorang pegawai Wisma Putra dilapor telah menjelaskan bahawa kementerian itu akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai pertemuan tersebut selepas ini.

Dr Huang sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa China menentang terhadap mereka yang menggunakan keganasan untuk mengganggu ketenteraman awam, yang jelas merujuk kepada ancaman oleh kumpulan tertentu untuk mengadakan demonstrasi di Petaling Street.

"Kerajaan China menentang keganasan dan sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum dan sebarang bentuk ekstremisme," katanya. - Kedahnews.com