EKSKLUSIF: Luahan Hati Farhan Ahmad, Anak Adun Bukit Lada...

Mohd Farhan Ahmad dan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir
ALOR SETAR - Anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Mohd Farhan Ahmad meluahkan rasa kesalnya terhadap maki hamun dan tuduhan tidak berasas segelintir pihak tertentu menyerang ayahnya Dato' Ahmad Lebai Sudin yang mengkritik kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Farhan meluahkan rasa hatinya yang melihat bapanya itu teruk dicaci dengan kata-kata nista dan dituduh mahu mengambil alih jawatan Menteri Besar yang disandang Mukhriz.

"Anak mana yang tidak sedih, kecewa dan tersinggung bila bapa kandungnya dihina dan dikutuk sesuka hati atas tuduhan yang sama sekali tidak berasas.

"Bapa saya tak kata pun nak jadi Menteri Besar, cuma cuit sikit saja.. Minta Mukhriz buat kerja betul-betul di Kedah atau jika tidak berminat beliau boleh letak jawatan secara terhormat," kata Farhan meluahkan isi hatinya kepada Kedahnews.com hari ini.

Farhan berkata, adalah tidak wajar mencaci bapanya memandangkan beliau ikhlas mengkritik Mukhriz demi kepentingan rakyat dan negeri Kedah.

Justeru itu Farhan meminta semua pihak untuk berfikiran rasional dalam isu kritikan bapanya itu dan perlu membalas hujah dengan hujah jika hendak membela Mukhriz sekalipun.

Menghormati Mukhriz sebagai seorang yang berpotensi besar sebagai pemimpin, Farhan turut mengharap agar Menteri Besar Kedah itu tidak terasa hati dengan teguran bapanya yang agak keras sebelum ini.

"Bapa saya hanya tegur sikit saja, cara orang Kedah tegur tu memang kasar sikit, tapi ikhlas.

"Lagipun, kalau Mukhriz dan bapanya boleh hentam tegur Perdana Menteri secara terbuka, kenapa pula bapa saya tak boleh tegur dia? Tegur sikit pun tak boleh?

"Kalau bapa Muhkriz boleh menyokong hak berhimpun dan hak bersuara, kenapa pula penyokong Muhkriz tidak boleh menghormati hak bersuara seorang Adun?", persoal Farhan.

Menyentuh soal para penyokong Menteri Besar itu yang dikatakan beremosi mengkritik bapanya, Farhan meminta agar mereka tidak menjejaskan nama baik Mukhriz sendiri dengan sikap yang biadap dan tidak sopan.

"Saya harap penyokong- penyokong Muhkriz jangan la merosakkan imej Menteri Besar Kedah dengan tidak menunjukkan adab yang tinggi, beremosi dalam mengkritik Adun Bukit Lada.

"Seharusnya penyokong Muhkriz menunjukkan teladan kepada rakyat...ini tidak... menyerang Adun Bukit Lada yang juga dari BN dan UMNO berlebihan berbanding mengkritik adun adun PAS, PKR atau DAP.

"Mengkritik keluarga, mencaci dan menghina beliau..membuat fitnah? Tindakan seperti ini juga sama dengan gaya kerja yang mengkritik PM. Adakah mereka nak membudayakan kebencian dan sikap berpuak puak dalam UMNO," katanya lagi.

Bagaimana pun Farhan menjelaskan bahawa dia sedar dengan kenyataannya ini akan mencetus kembali maki hamun dari pihak tertentu terhadapnya, namun dia redha dan berdoa agar golongan itu rasional dalam menerima kritikan yang membina darinya.

"Saya tahu dengan temubual ini akan menerima kritikan dan cacian dari penyokong muhkriz ..saya redha ,semoga Allah SWT memberkati mereka dan membuka hati mereka, sesungguh Allah SWT Yang Maha Berkuasa," ujarnya.

Sebelum ini, Adun Bukit Lada itu dihentam ramai pihak gara-gara mengkritik Mukhriz secara terbuka menerusi sebuah rakaman video di sebuah portal di ibu negara.

Beliau meminta Mukhriz meletak jawatan secara terhormat selaku Menteri Besar Kedah sekiranya masih gagal mentadbir negeri Kedah dan leka mempopularkan diri di ruang maya media sosial sehingga lupa tanggungjawab berat yang dipikul selaku ketua kerajaan negeri dan UMNO Negeri Kedah. -Kedahnews.com