Empat Ultras Malaya Termasuk Seorang Pelajar Didakwa Merusuh

Gambar Hiasan
SHAH ALAM – Empat penyokong pasukan Harimau Malaya (Ultras Malaya) termasuk seorang penuntut didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan merusuh semasa perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam 8 September lepas.

Norazman Noraziz, 24, Mohd Shahrul Azlan Mohd, 32, Hazim Kamarulzaman, 35, dan Shamsul Nirwan Halid, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin.

Mengikut pertuduhan itu, keempat-empat lelaki berkenaan didakwa merusuh dengan membakar suar, bom asap, dan mercun roket lalu membalingnya ke arah stadium selain melakukan kekerasan dan keganasan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama-sama beberapa individu lain yang masih bebas di kawasan Kuadron C, Stadium Shah Alam, pada 10.50 malam.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – BERNAMA