Riyadh - Arab Saudi semalam menyelar laporan yang mengecam negara itu kerana tidak membantu krisis pelarian Syria.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, kementerian luar negara itu berkata, ia sudah menerima kemasukan kira-kira 2.5 juta rakyat Syria sejak konflik bersenjata negara berkenaan bermula empat tahun lalu.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan menyifatkan dakwaan negara itu tidak membantu pelarian Syria sebagai ‘palsu dan mengelirukan.’
Kenyataan itu dibuat berikutan kenyataan serupa dikeluarkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kedua-dua negara yang kaya itu dituduh tidak membantu lebih empat juta warga Syria yang melarikan diri dari peperangan.
Pegawai kementerian luar Saudi dipetik oleh Agensi Berita Saudi (SPA) sebagai berkata, negara itu tidak mahu menunjuk-nunjuk atau bongkak dengan apa yang dilakukannya terhadap pelarian Syria.
“Kami tidak mahu menganggap mereka sebagai pelarian. Kerana itu kami mengeluarkan permit kepada 100,000 rakyat Syria yang ingin menetap di negara ini,” kata pegawai itu.
Menurutnya, dengan permit berkenaan, pendatang Syria itu boleh mendapatkan pendidikan percuma, penjagaan kesihatan dan bekerja di negara itu.
Selain itu, katanya, Arab Saudi juga menghulurkan bantuan kepada jutaan pelarian Syria di Jordan, Lubnan dan negara lain dengan kerjasama negara berkenaan, termasuk bantuan peri kemanusiaan berjumlah AS$700 (RM3 bilion). -Agensi