Enggan Hidang Arak, Express Jet Gantung Tugas Pramugari Mualaf

Charee Stanley yang sudah tiga tahun berkhidmat dengan Express Jet, syarikat penerbangan Amerika Syarikat yang berpangkalan di Georgia, merupakan seorang mualaf yang baharu setahun menganut agama Islam.
SEORANG pramugari beragama Islam mendakwa dia digantung tugas gara-gara keengganannya menghidangkan minuman beralkohol kepada penumpang yang menaiki syarikat penerbangan diwakilinya.

Charee Stanley yang sudah tiga tahun berkhidmat dengan Express Jet, syarikat penerbangan Amerika Syarikat yang berpangkalan di Georgia, merupakan seorang mualaf yang baharu setahun menganut agama Islam.

Seorang rakan sekerjanya mengadu kepada pihak pengurusan mengenai keengganannya melayan permintaan penumpang yang mahu minuman beralkohol sekali gus menyumbang kepada tindakan tatatertib terhadap dirinya.


Sehubungan itu, Charee telah memfailkan aduan mengenai tindakan majikannya yang disifatkan mengamalkan diskriminasi dan akan mengambil tindakan undang-undang mengenai hal itu.

Charee tidak mahu menghidangkan arak selepas baru-baru ini mengetahui bahawa agama Islam melarang sebarang jualan serta pembelian minuman memabukkan, begitu juga individu yang menghidangkannya.