DUA pekerja kanak-kanak mengasingkan acuan belon yang sudah kering. |
Ketika kanak-kanak lain di seluruh dunia bergembira bersama belon berwarna-warni di sesuatu majlis, berbeza pula dengan apa yang dilalui rakan seusia mereka di Bangladesh.
Pada usia yang terlalu muda, mereka terpaksa menghabiskan zaman kanak-kanak dengan bekerja di kilang belon di Dhaka demi membantu keluarga mencari rezeki.
Ada di antara mereka sudah mula bekerja seawal usia 10 tahun, di mana mereka sepatutnya duduk di bangku sekolah dan menelaah buku pelajaran.
Bagaimanapun, mereka tiada pilihan selain bekerja di kilang yang kotor, menyusun belon mengikut warna serta mengangkat bebanan berat.
Mereka mula bekerja seawal jam 6 pagi dan akan pulang ke rumah pada 5 petang, selepas 11 jam membanting tulang.
SEORANG kanak-kanak menunggu acuan untuk menghasilkan belon kering. |
Namun, bayaran yang diterima sangat menyedihkan dan tidak setimpal dengan titik peluh mereka.
Pekerja cilik ini dibayar dengan gaji serendah £6.50 (RM43) sebulan dan jika bernasib baik mereka mampu peroleh sehingga £16 (RM106).
Walaupun bayaran sangat rendah tetapi bagi kebanyakan ibu bapa, mereka tidak mempunyai pilihan selain membenarkan anak-anak keluar bekerja.
Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Apu berkata, bapanya menghilangkan diri ketika dia berusia lima tahun.
“Sejak itu ibu yang menjaga saya dan sekarang giliran saya pula bekerja untuk membantunya,” katanya.
MENGANGKAT beban yang berat sudah menjadi rutin harian kanak-kanak ini. |
Seorang lagi buruh Ruma, 11, memberitahu, dia tidak suka belajar dan gembira kerana tidak perlu ke sekolah.
“Gaji ayah saya sebagai buruh harian tidak cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Sebab itu saya bekerja di sini,” ujarnya.
Jurugambar Zakir Chowdhury yang merakamkan kehidupan buruh kanak-kanak ini berkata, menurut kajian kira-kira satu juta kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun bekerja sebagai buruh di Bangladesh.
Katanya, buruh kanak-kanak ini terbabit dalam pekerjaan yang berisiko tinggi seperti di kilang, garaj kereta, stesen kereta api dan pasar.
“Bayaran yang diterima mereka sangat rendah malah ada yang tidak dibayar langsung,” jelasnya.
PADA usia 11 tahun, Arif sudah bekerja dikilang belon untuk membantu keluarganya. |
Bagi majikan, mengambil kanak-kanak bekerja bukan satu masalah.
Pemilik kilang belon di Dhaka, Zakir Hossain, secara terbuka mengaku mengambil kanak-kanak bekerja tetapi mendakwa mereka dilayan dengan baik.
“Di sini, mereka semua seperti anak saya dan diberi peluang yang sama rata.
“Mereka bekerja di sini untuk membantu menyara keluarga.
“Namun, saya tetap berharap satu hari nanti mereka akan mendapat pendidikan untuk memajukan keluarga,” katanya.
Sumber: myMetro