ForceSHIELD, STARStreak Tingkatkan Upaya Pertahanan Udara Malaysia


KUALA LUMPUR – Sistem Pertahanan Udara Aras Rendah negara akan mempunyai keupayaan lebih canggih dan bertaraf dunia selepas memperoleh dua peluru berpandu sistem pertahanan udara yang baharu ForceSHIELD dan STARStreak dalam masa terdekat.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zin berkata pemerolehan sistem keluaran syarikat Thales itu adalah perlu memandangkan sistem sedia ada tidak pernah ditambah baik sejak era 1990-an.

“Kita perlu menyalurkan sistem pertahanan yang baharu untuk memperkukuh keupayaan pertahanan udara yang kini berada pada tahap rendah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perbarisan Sempena Hari ATM Ke-82 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.

Selasa lepas, Thales mengumumkan untuk membekalkan sistem itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Thales dalam kenyataan media berkata, selain peluru berpandu STARStreak dan ForceSHIELD, sistem pertahanan udara itu turut terdiri daripada sistem penyelarasan radar dan persenjataan CONTROLMaster 200, sistem persenjataan mobil RAPIDRanger dan RAPIDRover, Next Generation Lightweight Multiple Launcher dan sistem komunikasi yang berkaitan.

Terdahulu, Zulkifeli turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada 10 warga ATM dan Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera, juga kepada 10 staf awam.

Perbarisan kira-kira dua jam yang bermula 7.30 pagi itu disertai 29 pegawai dan 488 anggota lain-lain pangkat. – BERNAMA