Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR - Kadar gaji minima sebanyak AS$400 untuk pembantu rumah warga Filipina perlu dipatuhi, tanpa mengira nilai pertukaran mata wang.
Duta Filipina ke Malaysia, J. Eduardo Malaya berkata majikan pembantu rumah warga Filipina dikehendaki membayar jumlah yang sama dalam mata wang tempatan, negara mereka bertugas.
"Adalah tidak adil sekiranya rakyat kami mendapat gaji rendah di sini (Malaysia). Gaji minima untuk pembantu rumah warga Filipina ditetapkan sebanyak AS$400 sebulan di mana sahaja," katanya selepas menyaksikan perjanjian perkongsian antara PLTD Malaysia dan iFlix Sdn Bhd semasa perasmian perkhidmatan TV dalam talian mereka.
Malaya berkata majikan di sini terpaksa membelanjakan wang berlebihan berikutan nilai mata wang ringgit susut lebih 20 peratus berbanding dolar sejak akhir-akhir ini.
"Sebelum ini, majikan Malaysia hanya membayar RM1,200. Kini mereka terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,700," katanya.
Malaya berkata kedutaan itu telah memaklumkan kepada agensi buruh di Malaysia supaya mematuhi had gaji minima tersebut.
Sementara itu, mengenai perjanjian perkongsian itu, beliau berkata perkhidmatan iFlix disertai dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna untuk mengakses rancangan TV kegemaran mereka menerusi telefon pintar.
"Ia disambut baik rakyat Filipina yang bekerja di sini. Dengan menonton iFlix, mereka berpeluang menonton rancangan kegemaran mereka di kampung halaman secara langsung menerusi telefon pintar mereka," katanya.
Malaya menyambut baik perkhidmatan baharu itu dengan menyifatkan ia sebagai satu lagi peristiwa bersejarah dalam perkongsian perniagaan antara Malaysia-Filipina.
Sumber: mStar