Gaya "Shopping" Tetamu Allah Di Al-Haramain Perlu Berhemah

Gambar Hiasan
Musim haji telah tiba lagi. Jutaan orang Islam dari seluruh pelosok dunia akan mengunjungi Mekah dan Madinah bagi melengkapkan Rukun Islam kelima. Tidak ketinggalan juga bagi jemaah haji dari negara kita. 

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Madinah pada 16 Ogos lalu. Kumpulan terakhir pula dijangka berlepas pada 16 September nanti. Kepada semua jemaah haji didoakan agar mendapat haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air nanti.

Musim haji pada tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Secara kebetulan, musim haji kali ini berlaku pada masa ekonomi global yang tidak stabil. Keadaan ekonomi terutama kejatuhan nilai mata wang sudah pasti akan membawa bersama-samanya kesan kepada jemaah haji.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang pesat membangun, pasti turut terkena tempias daripada fenomena global ini. Pendek kata kejatuhan nilai ringgit Malaysia boleh memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara terutamanya jemaah haji.

Akibat daripada keadaan ini, wujud berita-berita yang tidak betul berkenaan Ringgit Malaysia dan jemaah haji. Ada yang mendakwa ringgit sudah tidak laku di sana. Ada juga pihak yang kata jemaah haji bermasalah untuk menukar ringgit kepada riyal.

Dakwaan ini adalah tidak benar. Hal ini telah pun dinafikan oleh pihak Tabung Haji (TH). Jemaah haji Malaysia bukan hanya boleh menukarkan ringgit di kedai-kedai penggurup wang malah boleh juga digunakan secara terus di merata tempat di Arab Saudi. Tiada masalah untuk membeli jubah, barangan haji dan lain-lain keperluan dengan menggunakan ringgit.

Gambar Hiasan
Namun begitu, jemaah haji disaran supaya lebih berhemat ketika berbelanja dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit ini. Ini kerana kejatuhan nilai ringgit akan menyebabkan kuasa beli jemaah haji akan berkurang.

Perbelanjaan yang lebih untuk membeli barang dan perkhidmatan mesti dikeluarkan. Ini memandangkan kuasa membeli barangan di luar negara adalah berkurang. Nilai ringgit menjadi semakin kecil berbanding dengan mata wang riyal Arab Saudi. Banyak kerugian yang akan ditanggung dari segi pertukaran wang.

Jumlah wang saku yang dibawa jemaah haji akan dilihat mengecil dan bebanan untuk berbelanja semakin memberat. Dahulu dengan duit yang dibawa mungkin dapat membeli sepuluh jenis barang. Namun, dalam keadaan sekarang, dengan jumlah wang yang sama mungkin hanya berupaya untuk membeli lima jenis barang sahaja atau kurang daripada itu.

Justeru, sebagai langkah untuk menghadapi keadaan nilai ringgit yang rendah ini, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh jemaah haji ketika di tanah suci. Pertama, jemaah haji disaran agar tidak berbelanja sakan di tanah suci. Berjimatlah dalam berbelanjalah untuk barangan keperluan terlebih dahulu.

Kecenderungan setiap jemaah untuk membeli "ole-ole" untuk diberikan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan kenalan memang tidak dapat dinafikan. Masakan tidak untuk mereka menghadiahkan pelbagai jenis barangan dari tanah suci seperti jubah, kopiah, sejadah, buah kurma dan lain-lain lagi. Hadiah-hadiah seperti ini boleh dibeli namun dihadkan jumlahnya.

Fokus

Ini kerana kebanyakan barang-barang ini boleh turut diperolehi di negara kita. Malah ada sesetengah barang yang diperbuat dari negara kita dan negara jiran seperti Indonesia. 

Ketika berada di sana, utamakan pembelian barangan keperluan terlebih dahulu dan tumpukan kepada amal ibadat sepenuhnya. Barangan hadiah boleh dibeli dalam negara. Jika hendak membeli di sana pun, belilah barangan yang sangat jarang ada dijual di negara kita.

Gambar Hiasan
Kedua, jemaah haji juga disaran untuk membina sikap tidak menurut rakan ketika berbelanja di tanah suci. Jangan sesekali membandingkan dengan orang lain dari segi kuantiti dan jenis barangan yang ingin dibeli. Sikap jemaah haji perlu diubah agar lebih fokus kepada perkara-perkara yang lebih memberikan manfaat.

Sikap yang akan membolehkan kita bahagia walaupun mempunyai masalah atau mempunyai kesempitan wang ringgit iaitu sabar dan syukur. Sabar maksudnya tidak terlalu mengikut setiap keinginan yang timbul dalam diri. Jika terlalu mengikut keinginan, banyak belanja akan dikeluarkan. Ini kerana keinginan tidak pernah ada penghujungnya.

Syukur pula bermaksud reda dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Syukur akan menghindarkan perasaan untuk membanding-bandingkan dengan orang lain. Dengan rasa syukur dalam berbelanja, setiap kita akan memperolehi ketenangan dan akan membuatkan kita tersenyum.

Sebagai kesimpulannya, alangkah moleknya bagi jemaah haji untuk tidak berbelanja sakan di tanah suci. Berjimat dan berhematlah ketika berbelanja di sana memandangkan nilai ringgit yang agak rendah pada masa sekarang. Nilai ringgit yang rendah akan mengakibatkan kerugian dari segi pertukaran walaupun boleh keluar wang melalui kaunter TH di sana.

Barangan yang hendak dibeli di sana untuk dikirim kepada keluarga boleh dibeli di tanah air sahaja kerana barangan tersebut juga ada dijual di sini. Utamakanlah ibadah haji dan umrah. Perbanyakan amal kebajikan dan menggunakan peluang menambah sebanyak-banyak pahala dan sedaya upayalah untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan yang tidak perlu.

Sumber: Utusan