Gempa Kuat Landa Chile, Tiada Ancaman Pada Malaysia - Jabatan Meteorologi

Orang ramai berkumpul di bukit Placeres selepas satu amaran tsunami dikeluarkan di Valparaiso, Chila pada awal pagi Khamis. - Foto AFP
KUALA LUMPUR – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter, melanda berhampiran pantai di kawasan tengah Chile pagi Khamis, menurut Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gempa itu, yang berlaku pada 7.18 pagi, adalah di 156 kilometer barat laut Vina Del Mar, Chile dan 16,596 kilometer tenggara Lubok Antu, Sarawak, kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan.

Agensi kajicuaca tempatan itu sebelum ini telah melaporkan bahawa gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter juga telah melanda kawasan tersebut pada pukul 6.55 pagi 17 September.

Menurut kenyataan itu, pihak jabatan berkenaan sedang memantau keadaan dan akan menyediakan maklumat terkini mengenai insiden tersebut.

Kejadian terbaharu itu namun dijangka tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia, kata kenyataan jabatan berkenaan.

Bagaimanapun agensi berita asing melaporkan kepulauan Hawaii di tengah Lautan Pasifik telah mengeluarkan amaran tsunami sebagai langkah berwaspada. – BERNAMA