Guan Eng Cabar PAS Bertanding Di Kawasannya, DUN Air Putih


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar PAS untuk bertanding di kerusi yang diwakilinya - DUN Air Putih di Pulau Pinang sekiranya parti itu benar-benar berani mahu mencabar kerusi DAP pada PRU ke-14 nanti.

Merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum itu yang bercadang meletakkan calon bukan Islam di kerusi DAP nanti, Guan Eng tidak terkejut dengan kenyataan tersebut.

"Kenyataan Hadi sudah dijangka. Tetapi ini adalah demokrasi di mana semua pihak mempunyai hak untuk bertanding.

"Jika PAS yakin, DAP akan menerima cabaran itu dengan rendah diri, kerana kita menjangka untuk meraih undi berdasarkan prestasi kami, urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang bersih.

"Kami tidak bankrap, seperti sesetengah negeri," kata Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman portal pro-pembangkang, Malaysiakini.

Sebelum itu, Abdul Hadi mengumumkan bahawa PAS bercadang meletakkan ahli bukan Melayu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kerusi yang ditandingi DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, Guan Eng juga seolah menyindir PAS dan mendakwa tentang kemungkinan parti itu mempunyai rancangan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung pada 2018.

Bagaimanapun Guan Eng secara sinis berkata, beliau tidak pasti sama ada PAS benar-benar mahu menang atau menjadi "pengacau" supaya BN dan UMNO boleh menang dalam pilihan raya.

"Kami akan serahkan kepada rakyat menjadi hakim. Jika PAS benar-benar mahu bertanding di kerusi kami, saya mengalu-alukan mereka ke DUN saya di Air Putih, "katanya.

"Kita akan menghadapi mereka dengan rendah diri. Kami tidak akan ambil mudah," kata Guan Eng.

Sebelum ini Guan Eng dalam propagandanya menyerang Abdul Hadi mendakwa Presiden PAS itu cenderung untuk bersikap "mesra UMNO" berbanding memilih untuk terus sehaluan dengan DAP yang menolak hudud secara total. -Kedahnews.com