Gujarat Guna Ayat Al-Quran Palsu Larang Makan Lembu Di India

Gambar Hiasan
Ahmedabad - Seorang pemimpin Islam India semalam memberi amaran kekacauan kaum mungkin meletus di India selepas sebuah kerajaan negeri mendakwa kitab suci al-Quran tidak menggalakkan memakan daging lembu.

Kerajaan Gujarat, negeri asal Perdana Menteri India, Narendra Modi, memasang papan iklan dengan ayat suci al-Quran yang menyebut memakan daging lembu boleh menyebabkan penyakit, bersama-sama dengan simbol bulan sabit dan bintang, lambang Islam.

Kumpulan pelampau Hindu sudah sekian lama mendesak pengharaman penyembelihan lembu, haiwan yang mereka anggap suci, di seluruh negara itu.

Langkah melindungi haiwan itu ditingkatkan sejak parti pelampau Hindu Bharatiya Janata membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum Mei lalu.

Beberapa negeri sudah pun mengharamkan penyembelihan lembu dan menjual dagingnya, langkah yang dilihat cuba menindas penganut Islam dan etnik minoriti lain.

Shabbir Alam dari masjid utama di Ahmedabad, ibu negeri Gujarat berkata, ayat suci pada papan iklan berkenaan tidak wujud.

“Tindakan seumpama itu boleh mencetuskan keganasan dan menggangu keamanan antara masyarakat.

“Apa juga yang tidak ada di dalam al-Quran tetapi didakwa sebahagian daripada kitab suci itu adalah penghinaan kepada Islam.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Gujarat,” katanya. - Agensi