Adik adlinahanim |
Di zaman ini, pemakaian contact lens atau kanta lekap adalah perkara biasa terutama dalam kalangan kaum perempuan yang sentiasa mahu kelihatan cantik matanya.
Tanpa mengira usia dan kadangkala tak ada masalah rabun pun, kanta lekap pelbagai warna menjadi perhiasan kosmetik.
Bagaimanapun buat mereka yang baru mahu cuba-cuba memakainya, kami nasihatkan jangan terlalu ghairah sebelum memastikan anda benar-benar faham cara penggunaan, risiko dan kesesuaiannya dengan diri anda.
Maklumlah mata merupakan organ yang amat penting jadi sekiranya ia sakit atau rosak disebabkan niat mahu melawa semata-mata maka ianya amatlah tidak berbaloi.
Salah seorang pengguna Instagram dikenali sebagai adlinahanim turut berkongsi pengalamannya memakai kanta lekap untuk dijadikan pengajaran dan dipertimbangkan sebelum anda memasukkannya ke dalam kelopak mata.
Menurut adlinahanim yang memakai kanta lekap sejak berusia 17 tahun, ianya dilakukan disebabkan masalah rabun dan berasa pemakaian cermin mata membuatkan tudung yang dipakainya ‘tak jadi’.
Sejak memakai kanta lekap dia berasa amat selesa hinggalah satu hari ketika pergi ke pantai pandangan matanya terasa kabur.
Menyangkakan ianya kerana kanta lekap terlalu kering, dia menanggalkannya namun selepas itu pandangan menjadi lebih kabur lagi.
Apabila diperiksa di kedai, tahap rabunnya makin teruk. Matanya pula mulai sakit hingga mencucuk-cucuk.
Selepas diperiksa doktor, dia diberitahu matanya terkena jangkitan bakteria dan sakitnya terasa seperti bebola mata terbakar.
Apabila keadaan semakin teruk dia dibawa ibu bapa bertemu pakar. Alangkah terperanjatnya apabila diberitahu, kornea matanya sudah koyak. Mujurlah ianya belum melarat hingga jadi ulser sekaligus membuat mata buta.
Apabila diberitahu dia menggunakan kanta lekap mahal (berkualiti), menukarnya setiap bulan dan selalu dicuci, doktor memaklumkan kanta lekap sebenarnya boleh mencederakan pemakainya bila-bila masa sahaja walaupun langkah hati-hati diambil.
Justeru, adlinahanim menasihatkan sesiapa sahaja yang mahu memakai kanta lekap demi tujuan kecantikan berhenti melakukannya kerana risikonya tidak berbaloi.
Manakala buat mereka yang rabun pula, masih terdapat solusi lain termasuk memakai cermin mata dan melakukan pembedahan lasik.
Begitulah pendapat dari seseorang yang pernah mengalami pengalaman menakutkan, nyaris buta disebabkan kanta lekap.. selepas mengetahui kisah ini adakah anda masih mahu memakainya?