Presiden dan Ulama PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
KUALA LUMPUR – Pihak polis diberi amaran supaya tidak mengambil tindakan ke atas ribuan penyokong pembangkang yang mengadakan upacara memijak-mijak gambar Presiden dan Ulama PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 baru-baru ini.
Badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang, Lawyers for Liberty berkata, perbuatan penyokong pembangkang terbabit memijak ulama PAS tersebut bukan sesuatu yang bersifat jenayah sebaliknya cuma satu perkara remeh yang tidak perlu dipedulikan oleh pihak polis.
NGO itu turut menegaskan, tidak terkandung dalam undang-undang Malaysia yang mengangkat Perdana Menteri atau Abdul Hadi kepada status istimewa yang kebal celaan dan mendapat mandat untuk menjadi orang yang dilindungi.
“Status mereka disisi undang-undang adalah sama dengan rakyat biasa dan mereka sepatutnya dilayan sama rata seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” tegas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen dalam satu kenyataan media hari ini.
Perhimpunan Bersih 4 yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kebebasan secara melampau termasuk lesbian dan gay pada 29 dan 30 Ogos lalu gagal meraih sokongan ramai rakyat Malaysia.
Peserta perhimpunan itu turut bertindak biadap dengan memijak-mijak gambar Najib dan Presiden PAS yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama (Islam) Sedunia dalam satu upacara semasa perhimpunan haram itu berlangsung.
Paulsen turut menjelaskan, bantahan secara biadab oleh penyokong pembangkang tersebut ke atas Hadi dan Najib bukan sesuatu yang luar biasa kerana terdapat banyak bantahan yang sama dilakukan.
Justeru, beliau menyeru pihak polis supaya menjadi pasukan polis yang profesional, adil dan cekap dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mencegah dan mengesan jenayah sebenar daripada mengambil peduli ucapara memijak-mijak gambar Presiden PAS.
Tegasnya, pemburuan terhadap peserta Bersih 4.0 tersebut adalah penyalahgunaan serius Kanun Keseksaan kerana walaupun kuno, peruntukan-peruntukannya tidak pernah bertujuan untuk melindungi PM atau tokoh masyarakat dari kritikan awam atau penghinaan.
“Kami ingin mengingatkan bahawa autoriti dan penghormatan terhadap pentadbiran kerajaan tidak datang dari rasa takut tetapi keyakinan orang ramai,” tegasnya. -Kedahnews.com