#Haji1435H: Nabil Turut Terima Jemputan Jadi "Dhuyuufur Rahman" Musim Ini

Nabil Ahmad
Jemputan menjadi tetamu Allah SWT bagi melaksanakan rukun Islam kelima iaitu mengerjakan ibadah haji merupakan impian bagi semua umat Islam di seluruh dunia.

Itu rumahNya dan Dia berkuasa untuk menjemput sesiapa saja dari hambaNya yang Dia suka, bukan?

Berpeluang menjadi antara yang terpilih, pelakon dan pelawak terkenal Nabil Ahmad meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kurniaan rezeki itu.

Menurut Nabil, dia bakal berangkat ke Tanah Suci bersama jemaah lain pada 19 September ini (Sabtu) bagi penerbangan terakhir.

“Syukur sahaja yang mampu saya ucapkan kerana doa dimakbulkan atas peluang dan jemputan untuk menunaikan haji pada usia muda.

“Insya-Allah peluang saya dijemput ke sana dapat menaikkan semangat orang lain untuk Makkah pada usia muda juga.

“Setakat ini persediaan untuk ke sana hampir lengkap dan saya bersama rombongan lain berkesempatan menyertai kelas persediaan untuk ke Tanah Suci yang diadakan oleh ustaz pengiring kami.

“Banyak ilmu yang kami pelajari menerusi kelas berkenaan termasuk berkenaan adab, doa dan niat yang perlu dilakukan dan saya cukup teruja,” ujarnya yang dipetik dari mStar.

Bercerita mengenai jemputan haji tersebut, Nabil memberitahu dia mendapat berita dapat mengerjakan ibadah haji pada tahun ini kira-kira sebulan lalu oleh rakan yang turut bertanggungjawab membawanya mengerjakan umrah pada Ramadan lalu.

Sementara itu, Nabil berkata, akan tetap meneruskan kerjaya seninya dan dalam masa yang sama lebih peka terhadap tindak-tanduknya selepas pulang dari Tanah Suci. -Kedahnews.com