Gambar Hiasan |
Jakarta - Pentadbir daerah Purwakarta di Jawa Barat bercadang mengharamkan remaja bertemu pada waktu malam malam dan akan mengahwinkan mereka yang ditangkap melakukan kesalahan itu.
Jika dilaksanakan seperti dirancang mulai 1 Oktober ini, remaja di daerah yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Jakarta itu tidak boleh keluar bertemu teman lelaki atau perempuan selepas jam 9 malam.
Ketua Daerah Purwakarta, Dedi Mulyadi, berkata bagi melaksanakan peraturan itu, pihaknya akan mengadakan rondaan selain pengawasan melalui kamera CCTV.
“Peraturan ini untuk yang berusia bawah 16 tahun. Mereka yang ditangkap melanggar peraturan itu akan diserahkan kepada jawatankuasa kampung untuk kaunseling.
“Jika tiga kali melakukan kesalahan itu, jawatankuasa boleh menyuruh ibu bapa mengahwinkan mereka,” katanya.
Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana perkahwinan itu boleh dilaksanakan kerana Indonesia tidak membenarkan mereka berumur bawah 16 tahun berkahwin.
Menurut Dedi, undang-undang itu boleh menjamin remaja berada di rumah pada waktu malam, mencegah pergaulan bebas remaja bawah umur serta remaja menunggang motosikal tanpa lesen serta berbahaya. - AFP