Hanya Jual Di eBay, Wanita Jana Pendapatan Lebih £16.4 Juta Setahun

Linda bersama barangan yang akan dijual di ebay. (foto Linda Lightman)
LINDA Lightman, 53, adalah seorang penjual di laman lelong eBay dari Philadelphia yang pada asalnya menjual barangan terpakai tetapi kemudiannya berjaya menjadikan perniagaannya itu bernilai jutaan pound.

Dia menjalankan perniagaan ini sejak 15 tahun lalu dan kini masih lagi menjual pakaian kasut, beg tangan, aksesori yang ingin dibuang oleh orang lain melalui butik eBay 'Linda's stuff'.

Katanya, dia memperoleh kira-kira £16.4 juta pendapatan setiap tahun.

Dia memberitahu MailOnline bahawa dia memulakan perniagaan dengan menjual permainan video lama anaknya di laman lelong itu pada tahun 2000 dan kini mempunyai satu pasukan yang bekerja di ruang pejabat berkeluasan 5,000 kaki persegi.

"Kami menyenaraikan lebih kurang 5,000 item sehari di laman web dengan kira-kira 140,000 barangan unik," katanya yang merupakan bekas peguam.

Dia menganggap semua orang boleh melakukan pekerjaan ini.

"Kebanyakan orang tidak tahu bahawa purata isi rumah mempunyai lebih 52 barangan bernilai lebih £2,000 hanya terletak di sekeliling rumah mereka dan sedia untuk dijual," katanya.

"Tetapi anda tidak perlu dihadkan dengan apa yang di rumah anda. Jadikan ia bercabang. Anda boleh mendapat wang dengan menjual barang-barang lain di eBay."

Sumber: mStar