KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka diraikan dengan penuh bersemangat oleh pelbagai kaum dengan lebih 50,000 orang menghadirinya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata dengan kehadiran jumlah pengunjung yang sebegitu ramai membuktikan rakyat Malaysia bersatu padu menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana yang ceria dan bersemangat, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka hari ini.
Salleh turut melahirkan rasa puas hati dengan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Sehati Sejiwa.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah telah berangkat ke acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan itu.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet serta perwakilan asing.
Dalam pada itu, Salleh berkata penglibatan ramai golongan muda dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga membuktikan mereka sedar mengenai kepentingan mempertahankan kemerdekaan negara.
“Saya amat gembira hari ini, anak-anak kecil dari generasi Y juga ada terlibat secara langsung kerana negara ini untuk mereka..masa depan mereka bergantung kepada kita yang akan menentukan keamanan dan kestabilan negara,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semangat perpaduan dan patriotisme yang ditonjolkan rakyat negara ini melalui penyertaan dan kehadiran pada sambutan Hari Kebangsaan adalah sangat membanggakan.
“Semangat perpaduan yang dipamerkan ini sewajarnya diambil ikhtibar oleh peserta perhimpunan Bersih 4,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan pula berkata, sambutan pada tahun ini begitu meriah dengan kehadiran ramai rakyat Malaysia.
“Sejak pukul 6 pagi lagi, kita lihat orang ramai turun begitu ramai sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara,” katanya. – BERNAMA