Hari Malaysia Berwarna-Warni Disambut Penuh Semangat Patriotik, 50,000 Hadir

Berbagai suku kaum masyarakat di Sabah merayakan sambutan Hari Malaysia bersama-sama Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Padang Merdeka, Rabu malam. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU – Sambutan ulang tahun Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini malam Rabu berlangsung penuh meriah, berwarna warni dan dengan semangat patriotik apabila 50,000 rakyat pelbagai kaum hadir menyaksikan upacara bersejarah itu.

Lautan manusia yang rata-ratanya berbaju merah mula membanjiri lokasi sambutan sejak pukul 5 petang dan dihiburkan acara prapersembahan termasuk daripada artis tempatan serta kumpulan koir Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia diiringi kombo Jabatan Penyiaran Sabah.

Mereka sanggup datang lebih awal, termasuk ada yang membawa anak-anak kecil begitu ceria dan bersemangat mengibarkan bendera Jalur Gemilang terutamanya ketika lagu-lagu patriotik didendangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin tiba di Padang Merdeka pada pukul 8.06 malam.

Hadir sama ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang mewakili Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan-timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan serta barisan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Acara sambutan dimulakan tepat 8.19 malam sejurus ketibaan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah Jasni, dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti lagu negeri Sabah Tanahairku serta tarian kebudayaan pelbagai kaum etnik di Malaysia.

Majlis sambutan diteruskan dengan acara bertafakur selama seminit bagi menghormati sambutan Hari Malaysia, sebelum Musa dijemput untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Perdana menteri kemudian menyampaikan ucapan Hari Malaysia dan diikuti acara menandatangan Buku Catatan sempena Hari Malaysia 2015. Acara itu turut disertai Musa dan Mohamad Asfia sambil disaksikan oleh Juhar.

Sambutan Hari Malaysia turut dimeriahkan dengan acara memotong kek oleh Juhar bersama Najib. Kek Hari Malaysia itu dibawa masuk oleh 16 kanak-kanak yang lahir pada 16 September.

Pada sambutan itu, Pengarah Penerangan Sabah, Datuk Almain Ajirul turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri sebelum dipasang di tiang bendera dan dinaikkan sekumpulan pegawai dari Tentera Laut Diraja Malaysia.

Acara rasmi diteruskan dengan penglibatan 1,000 pelajar sekolah yang mempersembahkan acara kebudayaan, tarian dan nyanyian yang terbahagi kepada lima segmen utama merangkumi Segmen Pembentukan Sejarah Malaysia, Segmen Perpaduan Etnik, Segmen Hidup Masa Kini, Segmen Generasi Y dan Segmen menampilkan artis jemputan.

Antara artis yang membuat persembahan ialah Dayang Nurfaizah, Ella, Stacy, Adira dan Firman.

Acara kemuncak hampir empat jam itu berakhir dengan pertunjukan bunga api selama lima minit. – BERNAMA